AM

PROGRAM ‘DATA UNTUK RAKYAT’, ‘CYBER SECURITY UNTUK RAKYAT’ BAKAL DIPERKENAL - GOBIND 

06/06/2024 03:27 PM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Program ‘Data untuk Rakyat’ dan ‘Cyber Security untuk Rakyat’ bakal diperkenalkan bagi melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan kefahaman mendalam berkaitan teknologi digital, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.  

Beliau berkata cadangan pengenalan dua program baharu itu adalah susulan kejayaan sejuta rakyat Malaysia berjaya melengkapkan program 'AI untuk Rakyat' iaitu inisiatif pembelajaran kendiri secara dalam talian.

“Ia tunjukkan ramai di luar sana tertarik dengan teknologi dan apakah perlu untuk mereka bersama-sama menggunakan teknologi untuk menambah baik kehidupan.

“Selepas ini, (kita) rancang beberapa modul lain iaitu lancarkan program ‘Data untuk Rakyat’ dan Cyber Security’ untuk Rakyat’,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Anjakan Strategi Digital First (ASDF) di sini hari ini.

Program AI untuk Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Jan lepas menggariskan dedikasi kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan penting mengenai Kecerdasan Buatan (AI).

Sementara itu, Gobind menegaskan pengenalan program baharu berkaitan teknologi secara dalam talian adalah penting bagi memastikan rakyat bersedia dengan cabaran teknologi masa kini.

“Saya mahu pastikan semua masyarakat faham dengan lebih mendalam mengenai maksud sebenarnya data, kecerdasan buatah (AI), cyber security dan sebagainya supaya mereka bersedia dengan cabaran masa depan untuk gunakan teknologi itu,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Digital ketika ini fokus mewujudkan platform pendigitalan yang mudah diakses, selamat dan berkualiti di semua peringkat perkhidmatan kerajaan.

“Kita juga dalam proses rangka apa yang dikatakan akta yang membolehkan perkongsian data, itu sangat penting dan harap dapat bentangkan rang undang-undang (RUU) itu di Parlimen pada Jun atau akhir tahun ini.

“Ini adalah penting kerana kita lihat bahawa gerak kerja online yang laksanakan hari ini banyak berasaskan data, kalau kita bolehkan data itu dikongsikan kita akan dapat lebih manfaat,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata ASDF yang diperkenalkan hari ini mempunyai enam teras iaitu Minda Digital, Berpacukan data, Berpaksikan Rakyat, Rekabentuk Berteraskan Keselamatan, Tadbir Urus Digital serta Bakat dan Kemahiran.

“Anjakan baharu ini memperlihatkan usaha proaktif kerajaan dalam melonjakkan perkhidmatan digital kerajaan melalui konsep Digital First dalam tempoh enam bulan sehingga Disember ini. Antara fokus dalam anjakan strategi ini adalah saluran digital bersepadu kerajaan berdasarkan pengalaman pelanggan,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan juga akan menaik taraf portal sedia ada kerajaan ‘MyGovernment’ iaitu Malaysia.gov.my bagi memudahcarakan interaksi antara masyarakat dan agensi kerajaan.

“Ini akan dilaksanakan melalui kerjasama Ketua Pegawai Digital (CDO) yang dilantik daripada kementerian masing-masing dan Jabatan Digital Negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan