AM

KLINIK SENI BUDAYA JKKN CUNGKIL BAKAT MUDA TERUSKAN KELESTARIAN TARIAN DABUS

06/06/2024 09:02 PM

IPOH, 6 Jun (Bernama) -- Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Perak menganjurkan Klinik Seni Budaya Tarian Dabus-Program Citra Warisan Budaya Cempaka Sari bagi mencungkil bakat dalam tarian tradisional itu dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.

Pengarah JKKN Perak Abd Rashid Abdullah berkata pihaknya komited untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam bidang seni budaya tarian itu dengan lebih 320 pelajar telah menyertai klinik seni budaya dua hari berkenaan yang bermula semalam. 

"JKKN sentiasa ingin memastikan potensi dan bakat yang ada termasuk dalam bidang tarian dabus yang cukup popular di Perak dapat dioptimumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua pelajar terbabit dari enam sekolah di sekitar Teluk Intan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, SMK Seri Setia, SMK Raja Muda Musa, SMK Sultan Abdul Aziz, SMK Abdul Rahman Talib dan SMK Kampung Bahagia.

Klinik seni budaya itu juga, katanya merupakan sebahagian inti pati kepada Temasya Budaya@Negeri Perak 2024 yang akan diadakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan pada 27 hingga 30 Jun ini. 

"Di peringkat umur ini mereka (pelajar) perlu didedahkan agar seni tari ini (tarian dabus) tidak dilupakan dan menjadi sebahagian daripada identiti budaya yang diwarisi oleh generasi akan datang. 

"Dengan pengenalan awal ini, diharapkan generasi muda dapat menghargai, mempelajari dan seterusnya memelihara seni tarian dabus sekali gus memastikan kelestarian warisan budaya ini terjamin pada masa hadapan," katanya. 

Menurut Abd Rashid usaha itu turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak, Persatuan Kebudayaan Daerah Kinta serta Persatuan Kebudayaan Daerah Hilir Perak. 

"Tarian dabus asalnya adalah seni mempertahankan diri yang mengutamakan kepahlawanan, kecerdasan, ketangkasan dan keperwiraan yang telah bertahan lebih 300 tahun. 

"Walaupun tidak popular dalam kalangan rakyat, usaha pewaris seni ini memastikan dabus tetap diminati dan dihayati serta mencatat sejarah sebagai satu daripada tarian tradisional terunggul di Perak," katanya. 

Beliau berkata pihaknya turut berbesar hati menerima perkongsian ilmu daripada satu-satunya pewaris dabus daripada Pertubuhan Kesenian Tradisional Dabus Kampung Tanjung Bidara, Yong Timah yang turut berkongsi ilmu kepada peserta.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan