AM

UNITEN ANJUR HARI TERBUKA 2024 BERMULA ESOK

07/06/2024 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) akan menganjurkan Hari Terbuka 2024 pada esok dan Ahad ini di Bangunan Pengurusan UNITEN Kampus Putrajaya untuk memberi pendedahan mengenai kursus yang ditawarkan serta suasana kampus. 

UNITEN dalam kenyataan memaklumkan acara yang bermula 9 pagi hingga 5 petang itu menyediakan peluang kepada pelajar, ibu bapa dan orang ramai untuk mengenali UNITEN yang berada dalam kelompok 15 universiti terbaik di Malaysia serta turut disenaraikan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2025 baru-baru ini.

“Penganjuran hari terbuka ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada umum berkaitan dengan program pengajian dan kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti, malah memberi peluang kepada universiti keseluruhannya untuk bertemu dengan masyarakat umum.

“Antara pengisian program pada hari itu ialah pameran serta pendidikan dan kerjaya dari Kolej Kejuruteraan, Kolej Komputeran dan Informatik, UNITEN Business School, Kolej Pengajian Siswazah serta Kolej Pendidikan Berterusan,” menurut kenyataan itu.

Acara lain yang akan diadakan termasuk Temu Duga Hufaz Profesional, khidmat nasihat mengenai bantuan pembiayaan pendidikan dan lawatan kampus, selain pertunjukan dan demonstrasi teknologi seperti pameran kenderaan elektrik (EV) 'Myvi Conversion' oleh Perodua.

Pada masa sama, pengunjung atau bakal pelajar yang memenuhi syarat dan kelayakan ditetapkan turut berpeluang menerima surat tawaran untuk mengikuti pengajian di UNITEN. 

“UNITEN turut menawarkan pelbagai pakej bantuan pendidikan dan penajaan untuk menyokong pelajar mencapai kecemerlangan akademik, antaranya Biasiswa Yayasan Canselor (YCU) Bright Merit untuk Program Asasi, Biasiswa YCU Access untuk Pelajar Diploma, MARA YTP Ulul Albab untuk Pelajar Tahfiz + Program Asasi dan Ijazah Sarjana Muda serta Biasiswa Prime Yayasan Tenaga Nasional untuk semua program pengajian di UNITEN,” menurut kenyataan itu.

Menerui program itu juga lepasan sekolah yang masih mencari program pengajian bersesuaian boleh berinteraksi secara terus dengan pensyarah dan warga akademik UNITEN yang sentiasa menyalurkan maklumat mengenai pemilihan kursus berdasarkan kelayakan.

Sementara itu, UNITEN dalam kenyataan sama turut memaklumkan universiti itu yang mempunyai kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 97.3 peratus tahun lepas terus diiktiraf sebagai pilihan utama oleh syarikat tempatan dan antarabangsa.

Menurut UNITEN, kejayaan itu dikukuhkan lagi dengan pengiktirafan disenaraikan dalam Employers' Top Choices of Universities in 2024 sekali gus menunjukkan komitmen institusi itu dalam menyediakan pendidikan dan menghasilkan graduan berkualiti tinggi, menepati keperluan industri negara dan persediaan menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

Bagi keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.uniten.edu.my atau menghubungi 03-89212020.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan