AM

Malaysia Perlu Bergerak Jadikan Tvet Pilihan Utama Lepasan Sekolah Menengah - Ahmad Zahid

07/06/2024 06:48 PM

BANTING, 7 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu bergerak ke arah menjadikan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama lepasan sekolah menengah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata saranan itu seiring keperluan negara dalam menyediakan lebih banyak tenaga kerja mahir atau berketerampilan bagi memenuhi keperluan sektor pekerjaan pada masa akan datang.

“Saya merasakan bahawa kita perlu bergerak ke hadapan dengan mengikuti negara maju lain seperti Jepun yang TVET menjadi pilihan utama lepasan sekolah menengah berumur 15 tahun dan ke atas.

“Di Malaysia, Kementerian Pendidikan juga telah memulakan Pendidikan TVET melalui Kolej Vokasional kepada lepasan tingkatan tiga dan usaha ini perlu diperkasakan lagi agar TVET menjadi pilihan utama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak pameran bersempena dengan sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata tidak salah sekiranya Malaysia mencontohi apa yang dilaksanakan negara maju lain seperti Jepun kerana langkah itu mampu mempersiapkan negara dengan sumber tenaga kerja yang berketerampilan seiring perubahan teknologi serta keperluan pihak industri sama ada domestik mahupun luar negara.

Beliau berkata ketika ini terdapat lebih 4,000 kursus yang ditawarkan melalui 1,345 institusi TVET di seluruh negara dengan tawaran kemasukan sebanyak 250,000 tempat.

Katanya daripada jumlah itu, pihaknya menerima 280,000 permohonan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berharap sekurang-kurangnya 40 peratus daripada permohonan itu dapat memulakan pengajian pada sesi kemasukan Julai ini.

“Kita harap ibu bapa boleh memainkan peranan dengan menggalakkan anak-anak mereka mengikuti pendidikan TVET yang diketahui dapat menjanjikan lebih peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata pelajar yang tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2023 juga layak mengikuti pengajian di institusi TVET dengan syarat minimum mereka perlu menguasai teknik 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Ahmad Zahid berkata ia antara usaha kerajaan dalam memastikan masa depan mereka lebih terjamin melalui kemahiran yang diperoleh menerusi pendidikan TVET.

“Malah, kita juga menggalakkan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang TVET di lima universiti TVET antaranya UniKL, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis,” katanya.

Berhubung sambutan Hari TVET Negara 2024, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan program dan aktiviti yang dilaksanakan dan setakat hari ini, lebih 10,000 orang mengunjungi sambutan itu dan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Beliau berkata sebanyak 48 pempamer melibatkan pelbagai institusi TVET mengambil bahagian mempamerkan produk serta bidang pengajian masing-masing dan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan turut ditawarkan sepanjang sambutan.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Zahid menyeru lepasan TVET dan SPM untuk hadir beramai-ramai ke tapak pameran bagi melihat peluang yang boleh direbut sama ada untuk mendapatkan pekerjaan atau melanjutkan pelajaran.

Sambutan Hari TVET Negara 2024 bermula hari ini dengan majlis penutup pada esok dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri yang seterusnya akan melancarakan Dasar TVET Negara 2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan