AM

JOHARI LAWAT PUSAT TERAPI ION BERAT OSAKA, AKHIRI KUNJUNGAN RASMI KE JEPUN 

07/06/2024 07:42 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

OSAKA, 7 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengakhiri lawatan rasmi ke Jepun hari ini dengan melawat pusat terapi ion berat pertama negara itu, Osaka Heavy Ion Therapy Center (HIMAK).

Dalam lawatan itu, Johari diberi taklimat oleh Ketua Pengarah HIMAK Dr Jiro Fujimoto mengenai penggunaan terapi ion berat dalam merawat pesakit kanser dengan lebih efektif dan mengurangkan kesan sampingan. 

Bercakap kepada Bernama, Johari berkata rawatan sedemikian perlu turut diteroka Malaysia memandangkan penyakit kanser merupakan punca kematian keempat tertinggi di Malaysia. 

“Terapi ion berat boleh memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia yang menghidap kanser dengan menawarkan pilihan rawatan lebih tepat dan kurang invasif berbanding terapi sinaran tradisional. Tambahan pula penggunaan terapi ini di Malaysia, bahkan di Asia Tenggara merupakan teknologi rawatan kanser yang amat baharu.

“Saya yakin lawatan saya ke pusat ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, tetapi penduduk rantau ASEAN. Ia juga dapat mengembangkan industri pelancongan perubatan di Malaysia,” katanya.

Laporan Fakta Kesihatan Malaysia 2023 menunjukkan kanser adalah antara punca utama kematian di hospital swasta meliputi 26.44 peratus dan yang keempat di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu 9.29 peratus.

Sementara itu, Dr Fujimoto berkata terapi ion berat adalah rawatan kanser mesra tubuh yang menawarkan rawatan tidak menyakitkan, lembut dan tanpa rasa panas semasa penyinaran untuk warga emas.

“Ia dijangka berkesan terhadap kanser yang sukar dikawal dan ada kemungkinan ia boleh digunakan untuk kes di mana penggunaan sinaran konvensional adalah sukar dan kesan terapeutik yang sangat baik boleh dijangkakan.

"Terapi Ion Berat membolehkan hari penyinaran dikurangkan berbanding terapi sinaran konvensional dan adalah kemungkinan untuk merawat pesakit luar dengan pesakit tersebut dapat meneruskan kerja dan kehidupan seharian seperti biasa," katanya.

Terdahulu Johari dan delegasi Parlimen Malaysia dibawa melawat Istana Nijo-jo di Kyoto sebelum berlepas ke Osaka dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Istiqlal Osaka. 

Johari melakukan lawatan rasmi lima hari bersama delegasi Parlimen Malaysia ke Jepun bermula Isnin atas undangan Speaker Dewan Perwakilan Jepun Fukushiro Nukaga.

Turut menyertai delegasi itu ialah Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan); dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan