AM

MALAYSIA, NEW ZEALAND ZAHIR KOMITMEN TINGKAT KERJASAMA PELBAGAI BIDANG

07/06/2024 08:09 PM

PUTRAJAYA, 7 Jun (Bernama) -- Malaysia dan New Zealand menzahirkan komitmen dalam memperkasakan dan mengembangkan lagi kerjasama dua hala terutamanya dalam sektor peralihan tenaga, perdagangan dan pelaburan, pendidikan serta pertahanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dizahirkan sewaktu menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar New Zealand Winston Peters di bangunan Perdana Putra pada petang Jumaat.

"Kami juga saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama termasuklah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025," kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau turut mengalu-alukan lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon ke Malaysia pada awal September nanti. 

"Semoga hubungan Malaysia dan New Zealand akan terus diperkukuh dan diperhebat demi manfaat bersama kedua-dua negara," kata Anwar.

Turut serta dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 45 minit itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Peters kini dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia yang merupakan persinggahan kedua dalam rangka lawatan beliau ke empat negara Asia Tenggara, selepas Vietnam. Lawatan kerja itu mencerminkan dasar-dasar New Zealand yang mengutamakan kerjasama dengan negara-negara di rantau itu yang sedang membangun dengan dinamik. 

Malaysia dan New Zealand memulakan hubungan diplomatik pada 25 Sept 1967 dan sejak itu, hubungan antara kedua-dua negara terus kukuh dan stabil.

Malaysia secara konsisten menyambut baik kehadiran pelancong yang semakin meningkat dari New Zealand setiap tahun, dengan 18,238 pelancong melawat negara pada 2022. Selain itu, 17,000 rakyat Malaysia ketika ini menetap di New Zealand.

Di rantau Pasifik, Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar New Zealand, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.42 bilion) setakat Jun 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan