AM

JUALAN MEGA MALAYSIA KINI KEMBALI DENGAN DISKAUN HINGGA 85 PERATUS

07/06/2024 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Selepas empat tahun, Jualan Mega Malaysia kini kembali dengan potongan harga hingga 85 peratus, yang akan berlangsung pada 15 Jun hingga 31 Julai ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata inisiatif yang dilaksanakan menerusi Tourism Malaysia itu adalah bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi beli-belah utama sekali gus merancakkan sektor ekonomi negara yang melibatkan penginapan, gastronomi dan aktiviti pelancongan.

“Saya turut menyasarkan dengan program ini dapat menarik pelancong domestik dan antarabangsa seterusnya memberikan nilai tambahan apabila melancong ke Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Jualan Mega Malaysia 2024 di sini hari ini. 

Beliau berkata kempen itu juga mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak termasuk pengusaha pusat beli-belah, persatuan hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan para penggiat industri pelancongan tempatan.

“Kerjasama ini akan memastikan pelancong menikmati pengalaman berbelanja secara menyeluruh dan berharga ketika di Malaysia selaras dengan slogan kempen jualan nasional iaitu My Priceless Experience,” katanya. 

Menurut Khairul Firdaus, kempen yang kali terakhir dianjurkan pada 2019 dan juga Malaysia Super Sale dan Malaysia Year End Sale telah meraih jumlah perbelanjaan pelancong bernilai RM86.14 bilion.

“Mulai tahun hadapan, ketiga-tiga kempen ini akan digazetkan hingga 2026 sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Malaysia telah merekodkan kemasukan 7.5 juta pelancong pada suku pertama 2024.

Beliau berkata peningkatan pelancong itu hampir 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, selain beliau juga meletakkan keyakinan negara mampu untuk mencapai sasaran 27.3 juta pelancong pada tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan