Oleh Nurul Syahirah Zulkifli
KUALA PERLIS, 8 Jun (Bernama) -- Sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025, Kampung Wai di sini menjadi destinasi pilihan bagi penduduk tempatan mahupun pelancong luar, untuk melakukan aktiviti riadah dan sukan lasak sambil menikmati keindahan alam semula jadi
Berjarak sekitar tiga kilometer dari pekan Kuala Perlis dan terletak di hujung negeri bersempadan Thailand, perkampungan itu memiliki sebuah terusan yang menghubungkannya dengan Empangan Timah Tasoh sejauh 22 kilometer.
Tinjauan Bernama di kampung berkenaan mendapati orang ramai terutama pengunjung dari negeri lain tidak melepaskan peluang, bersama keluarga atau rakan, menikmati pemandangan mempesona serta melakukan aktiviti kayak dan menaiki bot menyelusuri terusan itu.
Pengunjung berasal dari Perak Nurul Husna Mohd, 23, berkata beliau pertama kali berkunjung ke Kampung Wai untuk merasai sendiri pengalaman menaiki bot di terusan tersebut sambil menikmati ketenangan persekitarannya.
"Saya datang ke Perlis bercuti bersama rakan-rakan dan Kampung Wai ini ialah destinasi terakhir percutian kali ini dan saya mendapati kawasan ini sangat cantik dan tenang.
"Memang tak rugilah kalau datang sini, lagi pula dekat sini ada banyak gerai jualan seperti minuman dan makanan selain pengunjung dapat berekreasi di kawasan yang indah ini," katanya kepada Bernama.
Berkongsi pendapat sama, Muhammad Faiz Shukri, 23, yang berasal dari Kedah berkata beliau sudah dua kali datang ke situ untuk beriadah bersama rakan-rakannya dan berpendapat lokasi itu menawarkan pengalaman menarik dengan aktiviti sukan lasak seperti berkayak.
"Kali pertama dulu saya datang untuk mengambil gambar saja, tetapi pada kali ini saya tak lepaskan peluang untuk berkayak pula dengan rakan-rakan, sangat seronok, airnya hijau dan tenang," katanya.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Kelab Ekopelancongan dan Rekreasi Perlis Muhammad Taufiq Yaacob berkata orang ramai mula berkunjung ke Kampung Wai sejak tahun dua tahun lepas untuk beriadah.
"Di sini mendapat kunjungan orang ramai sejak kita adakan tempat berkayak dan menaiki bot manakala turut ada jualan minuman dan makanan daripada penduduk tempatan sendiri di Dataran Kampung Wai ini bagi menambah pendapatan sampingan," katanya.
Muhammad Taufiq berkata untuk aktiviti berkayak dan menaiki bot, operasi bermula 9 pagi hingga 7.30 malam bagi setiap Sabtu dan Ahad manakala untuk hari lain kecuali Isnin (ditutup) pada 2 petang hingga 7.30 malam.
"Untuk melakukan aktiviti kayak hanya dikenakan (bayaran) RM10 seorang untuk tempoh 30 minit manakala untuk menaiki bot pelayaran (menyelusuri terusan) dikenakan RM50 untuk lima orang dewasa (tempoh 30 minit)," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial