ALOR SETAR, 8 Jun (Bernama) – Jentera-jentera perpaduan di Kedah akan terus diperkasa bagi memperkukuhkan peranan dan fungsinya dalam menyemarakkan semangat toleransi, kerjasama serta keharmonian di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyatakat dan Perpaduan Kedah Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata perpaduan amat penting dan mesti menjadi cara hidup dan amalan semua lapisan rakyat serta menjadi tanggungjawab bersama untuk memeliharanya.
“Sehubungan itu, peranan jentera-jentera perpaduan terdiri daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta cawangannya, Skim Rondaan Sukarela, Tabika, Taska Perpaduan, Skuad Uniti, Mediator Komuniti, Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara harus diperkasakan.
“Pejabat saya juga sentiasa terbuka untuk mendengar cadangan-cadangan ke arah merealisasikan aspirasi jentera-jentera perpaduan dengan harapan selepas ini isu-isu komuniti seperti isu tempat parking kenderaan, binatang peliharaan bertengek di rumah jiran sehingga menimbulkan masalah dapat ditangani secara lebih baik dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kedah 2024 di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof.
Mengulas mengenai program tersebut, Halimaton Shaadiah berharap semua pihak mengambil manfaatnya dalam memahami dan meraikan adat resam, budaya serta cara hidup masyarakat pelbagai kaum sekali gus mewujudkan keharmonian berkekalan.
“Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebar pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia, sama-samalah kita memahaminya dan menjaganya kerana kemajuan sesebuah negara bergantung pada perpaduan rakyatnya,” ujar beliau.
Program tersebut yang bermula semalam dan berakhir hari ini mempamerkan cara hidup, budaya serta makanan Melayu, Cina, India, dan Siam selain Orang Asli serta peralatan dan hiasan tradisional rumah hinggalah majlis perkahwinan.
Program itu turut menyediakan Jualan RAHMAH, Senam Harmoni, Uniti Fun Walk dan Plogging, pameran rumah etnik, pameran agensi kerajaan, pertandingan memasak dan Jejak Rukun Negara-Mencari Harta Karun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial