AM

LEBUH RAYA SPE SELAMAT DIGUNAKAN, ALAT PENGESAN KERETAKAN AKAN DIPASANG - NANTA

09/06/2024 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Orang ramai tidak perlu risau untuk menggunakan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras di sini kerana ia selamat dan tiada sebarang keretakan pada binaan berkenaan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ketika memberikan jaminan itu, Nanta berkata alat pengesan keretakan akan segera dipasang pada struktur persimpangan bertingkat di Jalan Cheras bagi memantau sekiranya terdapat sebarang pergerakan.

Beliau  berkata pemasangan alat berkenaan hanya satu langkah proaktif dalam memastikan struktur tersebut benar-benar selamat walaupun laporan pakar dan jurutera semalam mengesahkan tiada sebarang masalah mahupun keretakan terhadap struktur berkenaan.

“Memang kita puas hati, laporan pakar memang tiada masalah di struktur itu, saya pun dah lihat sendiri, keretakan yang didakwa itu tidak ada dan jalan selamat digunakan.

“Cuma dengan pemasangan alat ini, kita akan terus pantau bersama LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) dalam beberapa minggu ini kalau ada kesan sebarang pergerakan atau betul-betul terjadi keretakan supaya kita boleh tahu dan ada amaran awal,” katanya.

Nanta berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau struktur persimpangan bertingkat SPE di Jalan Cheras di sini menggunakan kren pengangkat dengan diiringi Ketua Pengarah LLM Datuk Ir. Sazali Harun.

Semalam, seorang pemilik akaun X menyuarakan kebimbangan kemungkinan terdapat keretakan di jejambat tersebut berdasarkan dua keping gambar yang didakwa dirakamkan pada April lepas dan bulan ini.

Ciapan itu mendapat reaksi Nanta yang mengarahkan LLM dan syarikat konsesi SPE membuat pemeriksaan dan penilaian segera di lokasi sebelum kementerian pada hari sama dalam kenyataan ringkas mengesahkan siasatan mendapati ia hanya kesan garisan hitam iaitu sendi pembinaan semasa kerja konkrit yang dibuat dahulu.

SPE  dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi merangkumi Salak (Seksyen 1), Salak - Pandan (Seksyen 2), Pandan - Setiawangsa (Seksyen 3) dan  Setiawangsa - Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan 20.7 kilometer.

Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan