AM

SMC BEKERJASAMA DENGAN ANNALISE.AI, LAC MEDICAL SUPPLIES UNTUK PELAPORAN RADIOLOGI

10/06/2024 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) bekerjasama dengan syarikat pemenang anugerah yang menyediakan sistem sokongan keputusan dengan kecerdasan buatan (AI) Annalise.ai dan LAC Medical Supplies, sebagai komitmen untuk terus mara dalam industri penjagaan kesihatan melalui integrasi AI dalam pelaporan radiologi.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken dalam ucapan pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu di Bandar Sunway hari ini berkata pusat perubatan berkenaan sentiasa berada di barisan hadapan dalam pelaksanaan teknologi terkini.

"Penggunaan AI mampu merevolusikan cara kami menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada para pesakit. Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan, bahkan juga menambah ketepatan diagnostik ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

"Saya percaya dengan adanya Annalise.ai, akan bertambah satu lagi inovasi teknologi yang kami boleh gunakan untuk menambah baik penjagaan, rawatan dan pengalaman pesakit di hospital," katanya dan menambah kerjasama itu membuktikan komitmen SMC untuk menerima pakai teknologi AI termaju.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway Datuk Lau Beng Long, Pengarah Urusan (Operasi Hospital dan Penjagaan Kesihatan) Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway Dr Khoo Chow Huat, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Annalise.ai Dimitry Tran dan Pengarah Urusan LAC Medical Supplies Sdn Bhd Liew Yoon Poh.

Hadir sama Ketua Bahagian Asia Annalise.ai Teodor Stoev, Ketua Pegawai Teknikal LAC Medical Supplies Hong Chong Chet, Ketua Radiologi dan Pakar Perunding Kanan Radiologi Intervensi & Neuroradiologi SMC  Dr Adam Pany Abdullah dan Pakar Perunding Radiologi & Neuroradiologi SMC Dr S. Valarmathi.

Modul AI imbasan sinar-X di bahagian dada Annalise.ai mempunyai keupayaan untuk mengesan hingga 124 penemuan sinar-X pada bahagian dada, merangkumi penilaian komprehensif tentang kemungkinan keganjilan termasuk pneumotoraks, nodul paru-paru, pneumomediastinum, kepatahan tulang (tulang rusuk, klavikula, humerus), kedudukan tiub nasogastrik dan banyak lagi.

Dr Seow berkata satu daripada aspek AI yang hebat ialah keupayaannya untuk menjadi mata kedua yang tidak akan letih. Teknologi AI ini membolehkan pihak hospital memberikan intervensi yang tepat pada masanya dan penjagaan khusus dengan mengenal pasti penemuan kritikal dan mengutamakan pesakit berdasarkan tahap kesakitan.

Sementara itu, Dimitry Tran berkata penyelesaian Annalise Enterprise yang komprehensif ini akan dapat menyokong pasukan klinikal SMC dalam meningkatkan hasil penjagaan kesihatan terhadap para pesakit dan meningkatkan keberkesanan operasi.

"Peluang untuk bekerjasama dengan SMC yang merupakan satu daripada penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di Malaysia ialah pencapaian yang membanggakan bagi kami di Annalise.ai. Ia memaknakan kehadiran dan perkembangan kami yang pesat di Asia. Kerjasama ini membuktikan dedikasi kami untuk sama-sama menyediakan penjagaan berkualiti kepada semua pesakit pada setiap masa," katanya.

Liew pula berkata LAC Medicals didorong oleh komitmen untuk meningkatkan taraf penjagaan kesihatan melalui penggunaan teknologi termaju, dan dengan menyepadukan teknologi AI oleh Annalise ke dalam aliran kerja radiologi di SMC, syarikat itu telah menetapkan piawaian baharu dalam ketepatan dan kecekapan diagnostik.

Meraikan ulang tahun ke-25 sejak ditubuhkan pada 1999, SMC ialah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia dengan kapasiti 724 katil berlesen dan lebih 60 kepakaran.

SMC juga mempunyai 28 Pusat Kecemerlangan dan pasukan pelbagai disiplin yang disokong oleh lebih 3,500 profesional penjagaan kesihatan dan hospitaliti yang berdedikasi untuk menyediakan rawatan khusus serta pendekatan penjagaan holistik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan