EKONOMI

VETECE HOLDINGS DAPAT KELULUSAN PENYENARAIAN DI PASARAN ACE

10/06/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) --  Penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) perusahaan,VETECE Holdings Bhd mendapat kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Syarikat itu berkata berdasarkan draf prospektusnya, tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan terbitan awam sebanyak 98 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 39.2 juta saham sedia ada.

Ia mewakili 35 peratus daripada modal saham terbitan VETECE yang diperbesarkan sebanyak 392 juta saham biasa, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, VETECE menyasarkan untuk disenaraikan menjelang suku ketiga 2024, Kenanga Investment Bank Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO tersebut.

Ditubuhkan pada 2003, VETECE melalui anak syarikatnya Vision Technology Consulting Sdn Bhd dan Vision Technology Consulting Pte Ltd menawarkan rangkaian komprehensif penyelesaian teknologi maklumat (IT) perusahaan yang merangkumi perkhidmatan pelaksanaan, penyelenggaraan, sokongan dan perkhidmatan profesional serta penjualan semula perkakasan dan perisian.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Chan Wai Hoong berkata penyenaraian itu akan membolehkan syarikat mengakses pasaran modal ekuiti, mengumpul dana untuk mempercepatkan fasa pertumbuhan perniagaan seterusnya.

“Menerusi hasil penyenaraian itu, VETECE boleh mengukuhkan kedudukannya dalam industri perkhidmatan IT perusahaan dengan fleksibiliti kewangan dan keupayaan operasi dipertingkatkan,” katanya.

Chan berkata sejak 20 tahun lepas, syarikat berkenaan telah mencipta rekod prestasi kukuh dalam menyediakan penyelesaian IT kepada perusahaan besar seperti syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional, majoritinya dalam industri telekomunikasi dan perkhidmatan kewangan.

Penyelesaian IT VETECE memenuhi pelbagai industri termasuk telekomunikasi, perkhidmatan kewangan, teknologi, pembuatan, pendidikan tinggi, pengedaran, sektor awam, automotif dan utiliti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan