EKONOMI

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL BANTU PERKUKUH KEDUDUKAN FISKAL KERAJAAN - AHLI EKONOMI

11/06/2024 10:40 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Mekanisme penyasaran subsidi diesel di Malaysia yang bermula semalam akan mengukuhkan kedudukan fiskal negara, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata lebih banyak negara kini menghapuskan subsidi dan beralih kepada pendekatan yang dipacu oleh pasaran untuk mengukuhkan fiskal melalui kunci kira-kira.

"Kerajaan boleh menjimatkan kos dan menggunakan dana daripada penjimatan untuk pelaburan infrastruktur atau pembangunan. Pelaburan infrastruktur mempunyai korelasi langsung dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Ia adalah keputusan yang tepat pada masanya kerana subsidi menyeluruh mewujudkan ketidakcekapan dan tidak produktif pada peringkat makro. Harga harus didorong oleh kuasa pasaran mengikut penggunaannya," katanya kepada Bernama.

Pada Ahad lalu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi untuk diesel berkuat kuasa 10 Jun, yang akan membolehkan kerajaan dijangka menjimatkan kira-kira RM4 bilion setahun, dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api tahun ini akan mengukuhkan kedudukan fiskal dan kecekapan ekonomi negara.

Beliau menyatakan rasionalisasi subsidi diesel pada masa ini dilaksanakan ketika inflasi masih kekal rendah dan stabil pada 1.8 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga April tahun ini.

Namun begitu, beliau berpendapat bahawa sebarang kenaikan inflasi dijangka kecil dan berlaku sekali sahaja disebabkan subsidi masih diberikan kepada kumpulan sasar, seperti melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

"Inflasi keseluruhan diunjurkan kekal pada atau lebih tinggi sedikit daripada 2.5 peratus tahun lepas, tetapi ia diunjurkan kekal dalam julat unjuran rasmi di antara 2.0 hingga 3.5 peratus tahun ini," tambahnya.

Mengulas mengenai rasionalisasi subsidi bagi petrol, Yeah berkata peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar perlu diperluaskan kepada RON95, yang menyumbang sebahagian besar daripada beban subsidi yang tidak mampan.

"Mekanisme yang serupa dijangka disediakan oleh kerajaan untuk melindungi kumpulan yang terdedah dan berpendapatan rendah daripada kesan inflasi melalui rasionalisasi subsidi bahan api,"  katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan