AM

PENA ANTARA TIGA NGO MALAYSIA TERIMA PENTAULIAHAN UNESCO

11/06/2024 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan dua lagi badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia akan menerima pentauliahan rasmi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi domain Persuratan-Warisan Kebudayaan Tidak Ketara.

PENA dalam kenyataan hari ini berkata pentauliahan itu bakal diterima persatuan tersebut pada sesi ke-10 Perhimpunan Agung UNESCO di Paris yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan akan turut diberikan kepada Majlis Kraf Malaysia dan Pusat Budaya Pusaka (PUSAKA).

Presiden PENA Prof Madya Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata pentauliahan berkenaan merupakan satu penghormatan kepada PENA khususnya dan khalayak sastera yang bersama-sama mendukung usaha memperjuangkan seni persuratan dan kebudayaan dalam konteks warisan tidak ketara.

"Tanpa sokongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pendidikan khususnya Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kotabuku serta pelbagai agensi lain, tentulah sukar bagi kami menjalankan amanah sebagai pengembang dan pembangun kebudayaan," katanya yang akan mewakili PENA pada konvensyen tersebut bersama-sama Timbalan Presiden Mohd Khair Ngadiron dan Ahli Jawatankuasa Rosman Md Shah.

Mohamad Saleeh turut berharap pentauliahan itu dapat membuka mata pihak berkepentingan agar memberikan ruang dan bantuan kepada PENA yang tidak mempunyai dana tetap.

"Bidang kebudayaan ini seharusnya dilayan dengan baik dan sistematik bagi memastikan semua organisasi yang berjuang secara tekal dan ikhlas tidak terpaksa meminta-minta apabila mahu menjalankan program," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan