AM

SANGFOR TECHNOLOGIES JALIN KERJASAMA DENGAN DUA UNIVERSITI, TINGKAT PENDIDIKAN KESELAMATAN SIBER

11/06/2024 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Sangfor Technologies, penyedia penyelesaian keselamatan siber dan pengkomputeran awan menjalin kerjasama dengan Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM  (DRBHU)  dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) bagi memajukan pendidikan keselamatan siber dan memenuhi permintaan profesional mahir dalam bidang itu.

Pengarah Perniagaan Kerjasama Kerajaan dan Perusahaan Sangfor Technologies Iris Xu berkata kerjasama itu sebahagian daripada inisiatif syarikat berkenaan untuk mengukuhkan hubungan pendidikan global.

"Kami amat teruja dengan kerjasama bersama DRBHU dan IUKL kerana ini akan membantu merapatkan jurang antara akademik dan industri, memacu inovasi dan pembangunan bakat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Sangfor mempunyai rekod prestasi yang baik dari segi kerjasama akademik-industri dengan kolaborasi bersama lebih 600 universiti di China melalui Pusat Pendidikan Industrinya.

Sangfor katanya bertekad menyokong pembangunan program pendidikan dan latihan keselamatan siber berkualiti tinggi dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber secara kolektif.

Sementara itu Naib Canselor DRBHU Prof Datuk Dr Omar Osman melahirkan rasa teruja atas kerjasama itu kerana ia sejajar dengan misi universiti berkenaan untuk menyediakan pelajar dan staf DRBHU peluang untuk berkembang, menimba ilmu pengetahuan dan berinovasi dalam bidang automotif dan teknologi maklumat (IT).

Pengarah Eksekutif IUKL Lenny Chong Ther Zern pula menyifatkan kolaborasi berkenaan sebagai satu peristiwa penting bagi universiti itu.

“Kita akan terlibat dalam kerjasama penyelidikan, memfokuskan kepada penyelidikan akademik dan seminar dalam talian. Selain itu, kita menyasarkan untuk mewujudkan pangkalan pembangunan bakat dan pertukaran pelajar.

"Inisiatif ini akan meningkatkan pendidikan dan latihan, mewujudkan hubungan saling menguntungkan yang dapat memajukan visi kami untuk memupuk bakat dan menyumbang kepada komuniti akademik," katanya.

Pengurus Besar Sangfor Technologies (Malaysia) Jeffrey Zhang berkata syarikat itu telah membina jalinan perkongsian dengan lebih 1,000 rakan saluran tempatan serta menyediakan perkhidmatan profesional kepada ribuan pelanggan sejak beroperasi di Kuala Lumpur pada 2010.

"Pasukan kami yang terdiri daripada 90 peratus bakat tempatan, bekerja tanpa jemu untuk menangani keperluan keselamatan siber di rantau ini. Bagaimanapun, kami meramalkan peningkatan keperluan untuk profesional keselamatan siber selaras pengembangan operasi kami.

“Kerjasama ini akan membantu mengisi jurang bakat dengan melatih pakar generasi akan datang,” katanya.

Melalui perkongsian strategik itu, Sangfor komited ke arah meningkatkan pengalaman pendidikan dan menangani jurang bakat dalam industri keselamatan siber.

Majlis menandatangani kerjasama yang berlangsung masing-masing pada 5 dan 6 Jun bagi DRBHU dan IUKL itu disaksikan pengurusan Sangfor Technologies (Malaysia) Sdn Bhd termasuk Timbalan Pengurus Besar Kane Liu dan Pengarah Jualan Chenhau Yang bersama-sama pengurusan pihak universiti.

Kerjasama itu juga bertujuan membangunkan generasi baharu profesional mahir yang bersedia untuk menangani cabaran era digital.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan