AM

KERACUNAN MAKANAN: JKNS JALANKAN SIASATAN KESAN KES BAHARU

11/06/2024 11:25 PM

SHAH ALAM, 11 Jun (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kes-kes baharu berhubung kejadian keracunan makanan pada Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak melibatkan 30 buah sekolah rendah pada 8 Jun lalu.

Pengarah JKNS Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata mana-mana individu terbabit atau berkaitan dengan kejadian itu yang mengalami gejala diminta agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini.

“JKNS mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu yang telah menyebabkan dua kematian daripada 247 individu yang terdedah dengan 82 individu dilaporkan mempunyai gejala. 

“Antara individu yang terlibat ialah urus setia, guru-guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga berumur di antara setahun tujuh bulan hingga 58 tahun dengan gejala utama yang dilaporkan ialah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Umi Kalthom berkata bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa yang dibekalkan kepada guru-guru dan urusetia program oleh pengendali makanan dari luar disyaki menjadi punca kepada keracunan makanan.

Menurut beliau seramai 28 individu telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes yang dimasukkan ke wad. 

Dr Umi Kalthom berkata sampel makanan pada hari kejadian telah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

Beliau turut menasihatkan penganjur program dan orang awam agar berhati-hati dalam memilih premis dan pembekal makanan yang bersih sementara pengendali makanan pula perlu sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan serta minuman bagi mengelakkan kejadian penyakit atau wabak keracunan makanan.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima dua laporan kes kematian melibatkan seorang remaja lelaki berusaha 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, disyaki akibat keracunan makanan yang diambil daripada sebuah sekolah agama di Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata remaja itu telah menjamah makanan yang dibawa balik ibunya selepas menghadiri program keagamaan di sekolah berkenaan Sabtu lepas. 

Manakala mangsa kedua pula memakan makanan yang dibawa oleh bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut pada Sabtu dan didapati demam, muntah-muntah serta cirit-birit sekitar 10.45 pagi semalam.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan