AM

PELANCONGAN DOMESTIK LONJAK 19 PERATUS PADA SUKU PERTAMA 2024, REKOD 58.6 JUTA PELAWAT

12/06/2024 03:32 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Pelancongan domestik di Malaysia merekodkan 58.6 juta pelawat pada suku pertama 2024 (S1 2024), melonjak 19 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 6.5 peratus daripada suku keempat 2023.

Beliau berkata perbelanjaan pelancongan domestik bagi S1 2024 merekodkan RM24.1 bilion, melonjak 25.3 peratus tahun ke tahun.

"Prestasi tahunan pelancongan domestik di Malaysia mengalami peningkatan yang drastik pada 2023 dengan jumlah perbelanjaan mencatatkan RM84.9 bilion, berbanding RM64.1 bilion pada 2022.

"Jumlah pelawat domestik turut melonjak 24.6 peratus untuk mencatatkan 213.7 juta pelawat berbanding 171.6 juta pelawat pada 2022," katanya dalam kenyataan hari ini sempena laporan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) 2023 dan Buletin DTS Bagi Suku Pertama 2024. 

Menurut Mohd Uzir perbelanjaan tertinggi pelawat domestik adalah untuk membeli-belah dengan sumbangan sebanyak 36.3 peratus, diikuti oleh makanan dan minuman(16.3 peratus) dan pembelian bahan api kenderaan (13.2 peratus).

Mengenai ketibaan pelawat domestik mengikut negeri, Selangor muncul sebagai negeri dikunjungi paling ramai pelawat domestik pada 2023 dengan 27.6 juta pelawat domestik, diikuti Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 22.2 juta dan 17.9 juta pelawat domestik.

"Jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke Johor menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 42.7 peratus bagi merekodkan 8.92 juta pelancong berbanding tahun sebelumnya, 6.25 juta pelancong," kata Mohd Uzir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan