EKONOMI

OCEAN FRESH SASAR KUMPUL RM14.01 JUTA DARIPADA IPO

12/06/2024 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Ocean Fresh Bhd menyasar untuk mengumpul RM14.01 juta melalui tawaran awam awal (IPO) sebelum penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 4 Julai, 2024.

Ocean Fresh menjalankan aktiviti terutama pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut sejuk beku dan penyediaan perkhidmatan pemprosesan makanan laut sejuk beku bagi pelanggannya di Malaysia, Turki, China, Thailand, Vietnam dan Jepun.

Pelaksanaan IPO syarikat itu meliputi terbitan 50.05 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 28 sen sesaham.

Daripada jumlah tawaran itu, 37.83 juta saham baharu akan ditawarkan sebagai tawaran persendirian kepada pelabur terpilih, manakala 10.51 juta saham baharu akan disediakan untuk orang ramai Malaysia secara pengundian dan 1.71 juta saham baharu lagi untuk pihak yang layak.

Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 210.15 juta saham, Ocean Fresh dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM58.84 juta apabila penyenaraian berjaya.

Syarikat itu merancang untuk menggunakan 57.09 peratus atau RM8.0 juta daripada jumlah hasil sebagai perbelanjaan modal untuk kemudahan penyimpanan sejuk baharu di Kuantan, Pahang.

Pengarah Eksekutif Kee Wan Chum berkata kemudahan penyimpanan baharu itu, yang merangkumi enam bilik sejuk dan ruang pemunggahan, akan ditempatkan bersebelahan kemudahan pemprosesan semasa dan dijangka meningkatkan kapasiti penyimpanannya daripada 1,700 tan kepada 4,700 tan.

Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk terus meningkatkan jualan melalui kerjasama pemborong tempatan di China untuk memanfaatkan rangkaian pelanggan mereka.

Syarikat itu dijangka memuktamadkan pelantikan pemborong untuk mengedarkan produk mereka di China menjelang suku ketiga 2024.

“Kami percaya pelaksanaan IPO akan berperanan penting dalam membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat di samping sejajar dengan rancangan kami untuk mengembangkan eksport produk makanan laut sejuk beku kami ke pasaran antarabangsa, khususnya China,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran prospektus di sini hari ini.

IPO itu dibuka untuk langganan mulai hari ini hingga 20 Jun, 2024 dan KAF Investment Bank ialah ejen tawaran, penaja jamin, penaja dan penasihat utama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan