AM

CUACA PANAS JEJAS 8,900 HEKTAR SAWAH, KERUGIAN RM58 JUTA - KADA

12/06/2024 04:22 PM

KOTA BHARU,12 Jun (Bernama) -- Sejumlah 8,900 hektar sawah padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terjejas akibat cuaca panas sejak Mac lepas dengan anggaran kerugian bernilai RM58 juta.

Pengerusinya Muhammad Husain berkata menurut Jawatankuasa Penilaian Tabung Bencana Tanaman Padi Peringkat KADA melaporkan keluasan itu membabitkan seramai 3,587 pesawah di jajahan Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat dan Kota Bharu.

"KADA memandang serius perkara ini dan telah membentangkan satu laporan serta cadangan bantuan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk mendapatkan kelulusan di peringkat Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad berkata KADA juga komited dan berusaha untuk mencari solusi terbaik bagi membantu pesawah yang menghadapi kerugian serta berharap bantuan yang dimohon mendapat kelulusan pihak kementerian.

"KADA juga mengalu-alukan sebarang usaha dan bantuan daripada mana-mana pihak terutamanya kerajaan negeri dan Persekutuan untuk sama-sama meringankan beban ditanggung petani dan pesawah," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini juga turut mengumumkan dua insentif khas bagi pesawah iaitu insentif pembajakan dinaikkan daripada RM100 kepada RM160 dan insentif penuaian padi pada kadar RM50 sehektar setiap musim.

"Menerusi dua insentif ini, seramai 7,439 pesawah seliaan KADA akan menerima bantuan tunai berjumlah RM210 sehektar untuk semusim," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan