SUKAN

Exco Perak Dilantik 'bapa Angkat' Kontinjen Sukan Perak

12/06/2024 05:12 PM

IPOH, 12 Jun (Bernama) -- Kesemua Exco Kerajaan Negeri Perak dilantik sebagai 'bapa angkat' untuk persediaan kontinjen Perak bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) di Sarawak Ogos depan. 

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata selain barisan Exco Kerajaan Negeri, pihaknya turut melantik lima ketua-ketua jabatan dan agensi serta 11 Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk membantu pengurusan dengan dipecahkan mengikut jenis sukan.

Menurutnya, rasional pelantikan itu adalah bertujuan untuk pemantauan sebelum dan semasa kejohanan berlangsung di seluruh lokasi perkampungan sukan. 

"Kita libatkan semua kerana ini adalah perjuangan negeri dan kita kena buktikan bukan sahaja peserta sukan yang bertungkus-lumus menaikkan nama negeri tetapi kerajaan negeri dan pemimpinnya turut serta berusaha. 

"Kerajaan negeri mahu atlet kita rasa dihargai dan mereka perlu tahu mereka ada penyokong kuat di belakang mereka yang terdiri daripada wakil kerajaan negeri serta pemimpin agensi berkaitan," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Berikut adalah senarai Exco dan sukan yang diwakili:

Datuk Mohd Zolkafly Harun (tenis dan memanah), A Sivanesan (kabbadi dan silambam), Datuk Salbiah Mohamed (petanque dan akuatik), Teh Kok Lim (berbasikal, taekwondo dan bola keranjang), Mohd Azlan Helmi Helmi (e-Sport dan bola tampar pantai), Woo Kah Leong (wushu dan gimrama), Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (pencak silat dan sofbol), Loh Sze Yee (badminton dan bola sepak lelaki) dan Sandrea Ng Shy Ching (judo, bola jaring dan bola sepak wanita). 

Saarani menambah, ‘bapa-bapa angkat’ ini dilantik berperanan membantu meringankan beban atlet-atlet dalam menguruskan isu luar jangka yang timbul sepanjang kejohanan berlangsung. 

“Mereka juga boleh melaporkan sekiranya berlaku sesuatu perkara yang kita tidak nampak. Semakin ramai individu dipertanggungjawabkan, insyaAllah kita boleh mencapai kecemerlangan,” katanya.

Perak sebelum ini telah mengumumkan sasaran kedudukan lima terbaik pada temasya tersebut yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini di Kuching, Sarawak dengan sasaran itu diletakkan kepada 828 atlet untuk membawa pulang antara 30 ke 35 pingat emas dengan slogan 'Silver to Gold’.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan