EKONOMI

SYARIKAT FARMASEUTIKAL NEW ZEALAND AKAN LABUR RM300 JUTA DI N.SEMBILAN - AMINUDDIN

12/06/2024 06:01 PM

SEREMBAN, 12 Jun (Bernama) -- Pelaburan Taman Industri Halal HALMAS di Negeri Sembilan mendapat sambutan menggalakkan, antaranya yang terkini, permintaan sebuah syarikat farmaseutikal dari New Zealand yang dijangka melabur sebanyak RM300 juta di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata antara industri besar yang melabur di taman halal di negeri ini adalah Ajinomoto (Malaysia) Bhd dari Jepun, Sunshine Bread (M) Sdn Bhd (Singapura), Coca-Cola Bottlers (M) Sdn Bhd (Amerika Syarikat- AS), Kellogg’s Malaysia (AS) dan Mahsuri Food Sdn Bhd (Malaysia) khususnya di Bandar Enstek, Nilai.

“Taman halal di negeri ini adalah antara yang mendapat sokongan tinggi. Saya baru pulang dari New Zealand. Sebuah syarikat farmaseutikal akan melabur di negeri ini dan komited ingin mendapatkan sijil halal.

“Permintaan pelaburan halal di sini tinggi. Sudah tiada kawasan industri baharu dan difahamkan pembangunan taman teknologi techpark@enstek Fasa 3 di Bandar Enstek juga hampir habis terjual,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata kerajaan negeri juga sedang berusaha menambah baik industri halal dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana bagi meningkatkan mutu produk tempatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata tahap guna pakai dan pembangunan 14 taman perindustrian halal di seluruh negara masih rendah iaitu 11 peratus daripada keseluruhan 5,484 hektar dibangunkan setakat ini.

Dalam perkembangan lain Aminuddin berkata pembinaan Pusat Perubatan Institut Neurosains di Pedas, Rembau yang diumumkan pada 2019 telah dibatalkan ekoran pandemik COVID-19.

Sebelum ini media melaporkan pusat perubatan swasta yang melibatkan kos RM1.02 bilion itu dijangka menawarkan perkhidmatan kesihatan berkaitan neuro dan akan menjana nilai pembangunan sebanyak RM1.7 bilion dalam tempoh lima tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan