AM

MALAYSIA-SINGAPURA BINCANG KEMUNGKINAN GURU DARI SINGAPURA DIHANTAR KE MALAYSIA AJAR BAHASA INGGERIS

12/06/2024 07:15 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Malaysia telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu disentuh beliau dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong di Seri Perdana di sini, hari ini.

“Kami memang ada berbincang mengenai kemungkinan Singapura menimbangkan permintaan saya agar menghantar guru-guru bagi mengajar bahasa Inggeris atau mata pelajaran lain ke beberapa kawasan di negara ini.

“Biarlah siswazah muda membuat pilihan sendiri (mata pelajaran mana yang hendak diajar) jika boleh,” katanya pada sidang media bersama dengan Wong di sini hari ini.

Anwar berkata beliau gembira apabila Perdana Menteri Singapura itu menyatakan kesediaan untuk menimbangkan permintaannya itu bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di negara ini.

"Perkara ini bukan sesuatu yang kami rangka terlebih dahulu menerusi pegawai-pegawai terlibat. Cuma, kita cuba buktikan bahawa adakalanya perdana menteri boleh buat keputusan tertentu sebelum memaklumkan kepada menteri berkaitan,” katanya.

Terdahulu Anwar dan Wong mengadakan mesyuarat sempena lawatan sulung perdana menteri republik itu sejak mengangkat sumpah untuk jawatan berkenaan pada 15 Mei.

Lawatan Wong menekankan komitmen bersama Malaysia dan Singapura dalam mengukuhkan hubungan yang lama terjalin, dan sebagai persediaan bagi sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia hujung tahun ini.

Pada 2023 Malaysia dan Singapura masing-masing rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (AS$ 79.60 bilion).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan