AM

Peladang Mada Sambut Baik Kenaikan Insentif Pembajakan, Penuaian

13/06/2024 09:08 AM

ALOR SETAR, 12 Jun (Bernama) -- Peladang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik pengumuman Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhubung kenaikan insentif pembajakan dan insentif penuaian yang diumumkan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA Ishak Taib berkata peningkatan harga semasa belian padi telah memberi kesan langsung kepada kenaikan harga benih padi sah serta lain-lain kos operasi di ladang.

Hal itu katanya menyebabkan peladang terpaksa menanggung kos yang agak tinggi bagi menjalankan aktiviti penanaman padi bagi musim ini dan seterusnya.

“Pengumuman kenaikan insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim, serta insentif penuaian yang diperkenalkan pada kadar RM50 per hektar per musim, telah dibuat.

“Berikutan itu, peladang-peladang di kawasan MADA berterima kasih khususnya kepada pihak KPKM serta pihak kerajaan kerana prihatin terhadap isu-isu semasa yang dihadapi oleh peladang-peladang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pengumuman kenaikan insentif itu sedikit sebanyak memberi harapan baharu serta manfaat kepada semua peladang MADA seramai 54,886 orang.

Dalam masa sama, katanya Kementerian Kewangan juga telah mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) termasuk kategori BUDI Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan

Ishak berkata langkah itu secara tidak langsung dapat membantu para peladang dalam mengatasi kos operasi yang semakin meningkat. 

“Peladang-peladang di kawasan MADA merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas keprihatinan pihak KPKM serta kerajaan dalam memastikan kecukupan bekalan makanan negara sentiasa terjamin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan