AM

PM Singapura Berlepas Pulang, Tamatkan Lawatan Kerja Dua Hari Ke Malaysia

12/06/2024 11:13 PM

SEPANG, 12 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berlepas pulang malam ini selepas menamatkan lawatan kerja dua hari beliau ke Malaysia, yang bermula semalam.

Wong, yang diiringi isterinya Loo Tze Lui, telah diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di bawah pimpinan Kapten Mohd Shahrin Mohd Yusuf.

Penerbangan SQ125 Singapore Airlines yang membawa Wong dan delegasi beliau berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada 8.40 malam.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Mohd Aini Atan.

Terdahulu, Wong mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan telah mengesahkan komitmen mereka untuk menjalin kerjasama rapat dalam usaha mempererat hubungan kedua-dua negara merentasi semua sektor.

Pada pertemuan mereka di Seri Perdana, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala secara terus terang dan terbuka dalam usaha untuk terus meningkatkannya. 

Menerusi lawatan sulung beliau ke Malaysia selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura pada 15 Mei lepas, Wong menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menangani isu tertangguh dan hubungan dua hala yang berterusan iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), perjanjian air, persempadanan semula ruang udara dan kawasan maritim.

Wong turut menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air untuk bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan