AM

SEBANYAK 15 SYARIKAT BERI PEKERJAAN KEPADA 110 OBB

13/06/2024 04:34 PM

TAIPING, 13 Jun (Bernama) -- Sebanyak 15 syarikat pelbagai sektor terlibat dalam Program Youturn Penjara Negeri Perak anjuran Malaysian Care dan Persatuan Perkhidmatan Komuniti Taiping (ESDA) bertujuan memberi latihan dan kemahiran kepada Orang Bebas Berlesen (OBB) dalam sektor pekerjaan yang diceburi.

Pengarah Penjara Negeri Perak Timbalan Komisioner Penjara C. Charin Promwichit berkata usaha ini sebagai langkah untuk memberi kesedaran masyarakat agar turut sama membantu pemulihan kepada banduan selain dapat mengurangkan kos kerajaan serta menurunkan lebihan kapasiti banduan di penjara.

Menurut beliau program sempena Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI hari ini sebanyak 110 OBB diambil sebagai pekerja di syarikat di bawah program Corporate Smart Internship (CSI) di negeri ini. 

"Prospek (banduan) yang terpilih terdiri 74 OBB di Penjara Tapah, 24 di Penjara Taiping manakala 12 OBB lagi di Pusat Koreksional Kamunting bagi memberi pendedahan kepada banduan sekali gus membantu mengubah hidup mereka.

"Mereka yang dipilih dalam kalangan yang terlibat dengan jenayah ringan namun akan melalui pelbagai proses saringan sebelum diluluskan untuk mengikuti program berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan program itu di Pusat Latihan Pegawai Penjara Taiping (PLPP) dekat sini hari ini.

Charin menambah, program CSI yang bermula pada 2016 sebanyak 115 syarikat terlibat telah menggaji lebih 52,258 banduan yang dilepaskan secara Perintah Parol (ODP) dan 9,143 OBB  di seluruh negara. 

"OBB yang bekerja di syarikat  itu turut menikmati kemudahan seperti asrama, pengangkutan, gaji minimum selaras ketetapan kerajaan, elaun kerja lebih masa, elaun makan, kemudahan kesihatan, uniform kerja dan insurans.

"Di bawah program ini, kadar residivis atau jenayah berulang dalam kalangan banduan bekerja sangat rendah iaitu empat daripada 1008 orang pada tahun lepas," katanya. 

Beliau berkata usaha penting bagi membantu bekas banduan meneruskan hidup mereka sebaik saja dibebaskan agar mampu berubah ke arah lebih baik. 

"Jalinan antara pihak penjara dengan syarikat adalah sangat penting bagi memastikan program pembangunan insan sebegini dapat diteruskan dalam usaha membantu memberi sinar baharu kepada bekas banduan.

"Kerjasama strategik sebegini juga membantu pihak penjara mengurangkan kesesakan dalam penjara sekali gus memberi sinar baharu kepada bekas banduan," katanya. 

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan