AM

ORANG AWAM CEROBOH PROJEK LEBUH RAYA BELUM SIAP BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN - JKR

14/06/2024 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Orang awam dilarang menceroboh masuk ke kawasan jajaran projek Membina Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan (Pakej 2B: Ketereh Ke Kok Lanas) di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama dan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawasan itu dikategorikan sebagai kawasan tapak pembinaan dan orang awam dilarang untuk memasuki kawasan tersebut.

“Kontrak sedia ada projek ini telah ditamatkan dan dalam proses tender semula. Langkah-langkah kawalan selepas penamatan kontrak telah dilaksanakan seperti pemasangan papan tanda amaran dan penghadang konkrit bagi menghalang akses keluar dan masuk ke kawasan tapak pembinaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel sebuah akhbar bertajuk ‘Lebuh Raya Tak Siap Kini Jadi Litar Rempit’ disiarkan pada 11 Jun lepas yang melaporkan kawasan itu dijadikan litar perlumbaan haram oleh penunggang motosikal atau ‘mat rempit’.

Menurut JKR pihaknya akan sentiasa memastikan papan tanda amaran dan penghadang konkrit berada dalam keadaan baik dan teratur di tapak berkenaan.

“Laporan polis juga telah dibuat bagi memohon kerjasama pihak berkuasa untuk membuat rondaan secara berkala di lokasi berkenaan. Kerjasama daripada semua pihak dalam mematuhi papan tanda amaran dan arahan pihak berkuasa adalah amat diharapkan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan