AM

JENAZAH TAN SRI OSMAN CASSIM SELAMAT DIKEBUMIKAN

15/06/2024 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Jenazah bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Osman Cassim selamat dikebumikan pada 11.25 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Sinar, Segambut di sini.

Terdahulu jenazah dibawa ke Masjid Al Ubudiah Segambut Dalam untuk dimandi dan dikafan, diikuti solat jenazah yang dipimpin pemangku ketua imam masjid Mohd Arifin Zulkatlay sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Majlis pengebumian dihadiri lebih 30 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara dan kenalan.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan ll Datuk Seri Amir Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Aseh Che Mat.

Anak Allahyarham, Dr Samsudin memaklumkan ayahnya yang sudah berusia 93 tahun itu meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Ampang pada 10.20 malam tadi kerana sakit tua.

Dr Samsudin ketika ditemui Bernama turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu urusan pengebumian ayahnya.

Osman berkhidmat dalam sektor awam selama 30 tahun sebagai pegawai tadbir dan diplomatik termasuk memegang jawatan ketua setiausaha di beberapa kementerian sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum bersara pada 1985.  

Beliau kemudiannya aktif di Institut Pengurusan Malaysia dan pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah serta Pengerusi Southern Bank Berhad sehingga 2005 diikuti menjadi Pengerusi Kumpulan Hai-O selama 15 tahun.

Allahyarham juga pernah dianugerahkan Darjah Kebesaran Bintang Polar dari Raja Sweden Carl XVI Gustaf pada 2009 atas keberanian beliau menjadi wakil Malaysia sebagai tebusan pengganas Tentera Merah Jepun (JRA) yang menyertai penerbangan ke Tripoli, Libya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan