AM

YAYASAN AMAL TYT PULAU PINANG SUMBANG 252 EKOR LEMBU KORBAN

15/06/2024 07:35 PM

GEORGE TOWN, 15 Jun (Bernama) -- Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (Yayasan Amal TYT Pulau Pinang) menyumbang sebanyak 252 ekor lembu kepada 212 masjid dan 25 surau di seluruh negeri bersempena dengan Program Ibadah Korban Perdana pada Aidiladha nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang Datuk Seri Rozali Mohamud berkata program yang diuruskan oleh yayasan berkenaan pada tahun ini menunjukkan peningkatan 2.52 kali ganda berbanding 2023 iaitu hanya 100 ekor lembu.

"Kami di Yayasan Amal TYT Pulau Pinang ialah badan yang mengurus ibadah korban iaitu mendapatkan penyumbang dan pihak yang melakukan korban, pembelian lembu korban sehinggalah lembu dihantar ke masjid-masjid dan surau-surau untuk dilaksanakan ibadah korban.

"Program pada tahun ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan semua masjid yang mempunyai kariah mendapat sekurang-kurangnya seekor lembu untuk dijadikan korban, hal ini secara tidak langsung meningkatkan penyertaan daripada penyumbang mencerminkan keyakinan penyumbang kepada pengurusan ibadah korban oleh Yayasan Amal TYT Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penghantaran lembu korban ke masjid-masjid dan surau yang terpilih akan dibuat esok, manakala korban akan dilaksanakan oleh pengerusi kariah bersama pasukan mereka pada Aidiladha pertama sementara sebahagian kecil dari masjid-masjid yang mengambil bahagian akan melaksanakannya pada Hari Tasyrik.

Rozali berkata Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isterinya Toh Puan Khadijah Mohd Nor akan menyaksikan pelaksanaan ibadah korban di Masjid Negeri Pulau Pinang selepas solat sunat Aidiladha, seterusnya mengedarkan daging korban kepada asnaf sebagai simbolik pelaksanaan ibadah korban di seluruh negeri.

Beliau berkata pemberian daging korban mentah kepada asnaf membolehkan mereka memasak daging mengikut selera mereka dan dimakan bersama keluarga tercinta.

"Kami menjangkakan 13,500 golongan B40 akan mendapat sekurang-kurangnya dua kilogram daging untuk dimasak mengikut kegemaran cita rasa mereka dan kami juga berharap pada tahun-tahun akan datang, lebih ramai pihak yang berkorban, tampil ke hadapan bekerjasama dengan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Fuzi dan isteri serta penyumbang-penyumbang dan jawatankuasa kariah masjid yang terlibat dalam Program Korban Perdana 2024.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan