DUNIA

G7 SERU GENCATAN SENJATA GLOBAL SEMASA SUKAN OLIMPIK PARIS

16/06/2024 12:30 PM

BARI (Itali), 16 Jun (Bernama-dpa) -- Tujuh negara perindustrian terkemuka dunia berkempen agar pihak-pihak bertelagah melaksanakan gencatan senjata semasa Sukan Olimpik musim panas ini di Paris.

Pada akhir sidang kemuncak ketua-ketua negara Kumpulan Tujuh (G7) pada Sabtu, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni berkata seluruh anggota menyokong agar tiada peperangan semasa temasya itu, lapor Agensi Berita Jerman ( dpa).

Tuntutan ini juga termasuk dalam pengisytiharan rasmi akhir. Sukan Olimpik Paris bermula pada 16 Julai dan berakhir pada 11 Ogos.

Meloni berkata idea gencatan senjata Olimpik baharu telah dikemukakan oleh Perancis dalam perbincangan G7.

 Kumpulan itu terdiri daripada Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, Itali, Jepun dan Kanada.

"Ia adalah cadangan yang baik dan diterima sebulat suara," kata pemimpin Itali itu.

Bagaimanapun, memandangkan banyak peperangan berlaku di Ukraine, Asia Barat dan kawasan lain di dunia, idea itu tidak dianggap mempunyai banyak peluang untuk berjaya.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan