AM

SYARIKAT CHINA INTAI PELUANG PELAJARI INDUSTRI HALAL MALAYSIA

16/06/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Lebih banyak syarikat dari China menyatakan hasrat untuk mempelajari industri halal Malaysia, kata Presiden Dewan Perniagaan One Belt One Road (OBORCC) Datuk Seri Tan Thian Lai.

Beliau berkata kebanyakan syarikat meliputi industri makanan dan minuman, farmaseutikal dan kosmetik di China mula menyedari kepentingan pensijilan halal dan mereka melihat pensijilan halal di Malaysia antara yang terbaik di dunia.

“Mereka (syarikat China) melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang amat menitikberatkan piawaian halal dalam setiap produk yang dihasilkan. Bagi mereka ia satu peluang baik untuk mendalami piawaian halal ini untuk produk yang dihasilkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Tan berkata terdapat juga beberapa syarikat bersedia melabur dalam menyediakan kemudahan  penyediaan dan pembungkusan barangan halal di negara ini.

“Pasaran halal ini amat luas dan tidak terhad kepada 1.4 billion rakyat China sahaja kerana kebelakangan ini masyarakat bukan Islam juga sudah tahu kepentingan halal dalam produk yang digunakan.

“Disebabkan itu rakan perniagaan dari Guandong, Shanghai dan Beijing mula menyatakan hasrat untuk membuka kilang mereka di Malaysia agar mudah produk halal yang dikeluarkan mereka dipantau JAKIM,” katanya.

Sehubungan itu, Tan berharap lawatan Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China Selasa depan akan memberi manfaat buat kedua-dua negara dalam memperkasa industri halal dunia.

Pensijilan Halal Malaysia di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapat pengiktirafan dunia apabila berjaya mengekalkan tempat pertama buat tahun ke-10 berturut-turut bagi sektor makanan halal daripada  81 negara berdasarkan laporan State of Global Islamic Economy 2023.

Pasaran halal dunia diunjur mencecah US$9.71 trilion (US$1=RM4.69) menjelang 2025 dengan negara seperti Malaysia dijangka menerajui pada tahun-tahun mendatang. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan khas pada acara Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) pada 28 Mei lepas berkata industri halal misalnya terbukti menjadi satu daripada sektor paling kompetitif serta pantas di dunia dan perkembangan sedemikian dijangka dialami oleh aset kewangan Islam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan