DUNIA

PERDANA MENTERI CHINA LI QIANG LAWAT MALAYSIA SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS

17/06/2024 10:26 AM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia mulai Selasa untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Ini merupakan lawatan pertama Li ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Mac 2023, satu peristiwa yang sangat signifikan yang menurut penganalisis akan meningkatkan hubungan strategik komprehensif ke tahap baharu.

"China berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia melalui lawatan ini, untuk meneruskan persahabatan tradisional, memperdalam dan mengembangkan kerjasama dalam pelbagai bidang, memperkukuh dan memantapkan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama dan bersama-sama membuka lembaran baharu 50 tahun hubungan dua hala yang lebih gemilang," kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, semasa sidang akhbar di Beijing pada 11 Jun.

Lawatan Li akan memberikan peluang yang baik bagi Malaysia dan China untuk menilai kemajuan dalam hubungan dan kerjasama dua hala yang pelbagai serta meneroka peluang perkongsian baharu pada masa hadapan.

Presiden Center For New Inclusive Asia, Prof Koh King Kee berkata lawatan itu penting dalam menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, sambil menekankan kepentingan yang diberikan oleh kedua-dua negara terhadap hubungan dua hala mereka.

Lawatan itu dijangka akan meningkatkan lagi kepercayaan politik antara kedua-dua negara dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, katanya.

“Lawatan Li dijangka akan meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu, memandangkan pemimpin kedua-dua negara komited untuk membina komuniti Malaysia-China dengan masa depan bersama, membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Koh kepada Bernama.

Semasa lawatannya ke Malaysia, Li akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan menghadiri mesyuarat peringkat tinggi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini akan menandakan pertemuan ketiga antara Anwar dan Li, selepas pertemuan mereka sebelum ini pada April 2023 semasa lawatan rasmi pertama Anwar ke China dan kemudian pada September 2023 di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20 di Nanning.

Beberapa perjanjian dua hala dan memorandum persefahaman (MoU) dijangka akan ditandatangani semasa lawatan Li.

Perdana Menteri China itu juga dijadual melawat tapak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak, satu projek infrastruktur utama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan yang diterajui Beijing.

Li juga dijadual menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Pada acara tersebut, sebuah buku peringatan yang menandakan lima dekad hubungan yang berkekalan akan dilancarkan. Buku itu diterbitkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama Kementerian Luar Malaysia.

Li, 65, akan menjadi pemimpin politik tertinggi China yang melawat Malaysia dalam tempoh hampir sedekad.

Bekas Perdana Menteri Li Keqiang melawat Malaysia pada November 2015 untuk menghadiri mesyuarat pemimpin Asia Timur. Presiden China Xi Jinping melawat Malaysia pada Oktober 2013, satu peristiwa yang membawa kepada peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik secara rasmi pada 31 Mei 1974.

Sepanjang lima dekad yang lalu, kedua-dua negara telah membina hubungan yang kukuh dan signifikan melangkaui bidang politik, ekonomi, pendidikan dan pelancongan.

Tahun-tahun kebelakangan ini juga menyaksikan peningkatan kerjasama dalam sains dan teknologi serta minat yang semakin meningkat dalam pertukaran antara rakyat, budaya, makanan dan promosi hiburan.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.

Pada 2023, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan