SUKAN

LANGKAH STRATEGIK BAWA KEMENANGAN SKUAD LELAKI NEGARA PADA KEJOHANAN SKUASY BERPASUKAN ASIA 2024

17/06/2024 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Langkah strategik pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia 2024 berhasil apabila membawa kepada persembahan cemerlang pasukan lelaki negara yang muncul juara selepas menewaskan Hong Kong 2-1 dalam pertemuan mendebarkan itu.

Jurulatih kebangsaan Shahril Shahidan berkata keputusan yang tepat dibuat dalam pemilihan pemain untuk perlawanan akhir sambil beliau menekankan kepentingan memanfaatkan kekuatan setiap pemain termasuk peranan Ng Eain Yow dalam memperoleh mata penting.

Beliau berkata kunci pada langkah taktikal itu adalah memasukkan pemain muda yang juga pemain nombor ke-130 dunia Ameeshenraj Chandaran yang dipilih kerana tahap kecergasannya yang tinggi.

“Kami tahu Eain Yow boleh memberi satu mata, manakala perlawanan Addeen (Addeen Idrakie) akan 50-50. Kami putuskan untuk meletakkan Ameeshenraj kerana beliau mempunyai kelebihan sebagai pemain lebih muda dan mempunyai tahap kecergasan lebih tinggi, memandangkan Tang (Tang Ming Hong) tidak mempunyai tahap kecergasan yang baik.

“Jika kami meletakkan Syafiq (Mohammad Syafiq Kamal) boleh berlaku 70-30 memihak kepada Hong Kong kerana Syafiq kalah 3-2 dalam dua perlawanan antara mereka (bertemu Henry Lau) sebelum ini,” katanya dalam perkongsian Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) kepada media tempatan selepas final yang berlangsung di Dalian, Provinsi Liaoning, China, semalam.

Pada masa sama Shahidan memuji persembahan keseluruhan pasukannya yang menunjukkan dedikasi dan keberanian.

“Secara keseluruhan pemain bermain dengan sepenuh hati dan bertindak berani untuk meletakkan pemain muda,” katanya.

Kemenangan skuad lelaki negara itu menyumbang kepada dominasi Malaysia pada kejohanan itu selepas pasukan wanita terdahulu merebut kembali kejuaraan dengan mengetepikan juara bertahan Hong-Kong 2-0.

Eain Yow selaku pemain utama negara bermula cemerlang dengan mengatasi Lau Tsz Kwan 3-0 (11-7, 11-8, 11-8) namun terikat 1-1 selepas Addeen tewas kepada Henry Leung 1-3 (11-4, 7-11, 2-11, 7-11).

Bagaimanapun, Ameeshenraj muncul wira negara dengan bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan nombor 88 dunia Tang 3-1 (8-11, 11-8, 11-6, 11-4).

Kemenangan itu merupakan gelaran kedua diraih skuad negara dalam kejohanan itu selepas muncul juara pada 2021.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan