AM

NENEK, CUCU DIKHUATIRI SESAT DI BUKIT BULUH TELUR SEJAK SEMALAM DITEMUKAN SELAMAT

17/06/2024 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Seorang wanita warga emas bersama cucu perempuan berusia 12 tahun yang dikhuatiri sesat ketika dalam perjalanan ke kebun durian di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Baharu semalam, ditemukan selamat pada 9.30 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kedua-dua mereka ditemukan selepas hampir dua jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan hari ini.

“Operasi melibatkan enam anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu, serta petugas dari pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan orang awam.

“Lokasi mereka berjaya dikesan melalui panggilan telefon yang lepas dan anggota penyelamat mengambil masa kira-kira sejam untuk ke lokasi kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu wanita dianggar berumur 60an itu sempat menghubungi anaknya pada 12 tengah hari memaklumkan dia sesat sebelum telefon bimbitnya dipercayai kehabisan bateri dan susulan itu, anak sulungnya membuat laporan polis pada 3 petang, semalam. 

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata kedua-duanya yang merupakan dari komuniti Orang Asli, dijumpai oleh ahli keluarga mereka, dan selamat dibawa keluar dari lokasi pada 10.08 pagi tadi.

“Kedua-duanya dalam keadaan selamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan, namun dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi SAR hari ini melibatkan dua anggota polis, tujuh anggota dan pegawai JBPM, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima malim gunung dan 23 orang awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan