DUNIA

HUJAN RAHMAT DI MINA

17/06/2024 11:26 PM

Daripada Nashir Mansor

MAKKAH, 17 Jun (Bernama) -- Hujan renyai di Mina petang tadi jelas menggembirakan bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga jemaah haji dari seluruh dunia yang sedang melakukan ibadah jamrah.

Hujan renyai disertai guruh kira-kira setengah jam itu mendorong penduduk tempatan dan juga wartawan dari agensi berita antarabangsa keluar di jalan raya untuk menikmati momen berkenaan.

Bagi penduduk tempatan, fenomena ini jarang berlaku memandangkan pada masa ini ialah musim panas manakala wartawan pula tidak mahu ketinggalan merakam detik yang jarang berlaku itu.

“Sekarang musim panas, sepatutnya tiada hujan. Saya agak terkejut hujan pada hari ini,” kata Abdulrahim Althobaiti yang juga pegawai perhubungan bagi wartawan Malaysia dan antarabangsa lain yang membuat liputan musim haji tahun ini.

Menurut Abdulrahim tiada hujan pada musim haji tahun lepas.  

Abdulrahim berkata menjadi kelaziman untuk penduduk tempatan di seluruh Arab Saudi keluar dari rumah mereka tanpa berpayung untuk menikmati suasana hujan. 

Sementara itu, wartawan Meja Arab Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Noor Azuki Fahme Ismail berkata detik ini sangat dinantikan memandangkan cuaca panas yang sedang melanda sekarang dengan suhu mencecah 43 darjah Celsius.

"Ketika hujan...saya sedang di lobi hotel dan menyaksikan ramai penghuni hotel mula keluar ke jalan raya sambil berdoa tanda bersyukur. 

Tinjauan di kawasan jamrah di Mina juga mendapati jemaah berpusu-pusu keluar melontar memandangkan cuaca yang kurang panas berbanding pada hari-hari biasa.

Seramai 21 wartawan dan jurufoto dari 10 agensi berita antrabangsa berada di sini bagi membuat liputan musim haji kali ini atas undangan Agensi Berita Arab Saudi (SPA)

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan