JENAYAH & MAHKAMAH

SEORANG DARIPADA DUA MANGSA BOT KARAM DI BELAGA DITEMUKAN LEMAS

18/06/2024 07:12 PM

SIBU, 18 Jun (Bernama) -- Seorang daripada dua mangsa yang hilang dalam insiden bot karam di Long Menjawah, Belaga, pada Ahad ditemukan lemas, 50 meter dari lokasi kejadian, tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat Balavishnu Permaloo berusia 36 tahun ditemukan terapung pada pukul 1.15 tengah hari dan dibawa ke tebingan sungai oleh pasukan bomba  sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurut bomba, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Rhuban Apparoo berusia 30 tahun masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR), masih diteruskan.

Beliau berkata selain pasukan keselamatan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga, operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut disertai tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Pada 16 Jun,  empat pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan empangan Bakun dikatakan menyewa sebuah bot yang dikemudi oleh seorang penduduk kampung untuk tujuan bersiar-siar namun pada kira-kira 4.30 petang, bot tersebut telah karam akibat arus deras di Jeram Menjawah.

Akibatnya, dua daripada pekerja syarikat itu hilang dibawa arus deras manakala tiga lagi iaitu dua pekerja syarikat dan jurumudi terselamat.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan