AM

REZEKI DI BUMI MAKKAH, ANAK BANTING MAHU CIPTA "EMPAYAR" BIDANG KATERING

19/06/2024 10:09 PM

Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 19 Jun (Bernama) -- Doanya di hadapan Kabaah semasa mengerjakan umrah pada 2010 agar ditunjukkan jalan supaya sentiasa dapat menabur bakti kepada jemaah umrah dan haji Malaysia, menjadi titik tolak kepada permulaan seorang anak jati Banting, Selangor menceburi bidang katering di Tanah Suci.

Sejak datang ke Makkah pada umur 19 tahun, Sulaiman Ismail yang kini berusia 44 tahun sentiasa mencari jalan untuk berbuat demikian menerusi "empayar"’ perniagaan sendiri dan dalam masa sama berhasrat memperkenalkan masakan Malaysia dalam kalangan orang Arab.

Berbekalkan pengalamannya sebagai tukang masak dengan Lembaga Tabung (TH) di Tanah Suci selama 10 tahun sejak 1999 dan wang simpanan yang ada, Sulaiman bertekad untuk menceburi bidang katering biarpun menyedari cabaran yang bakal dilalui penuh ranjau dan berliku.

“Alhamdulilah, selepas itu saya mula berniaga katering pada 2011 dengan memasak makanan untuk jemaah umrah. Masa itu memang mencabar sebab saya datang ke Tanah Suci dengan empat tukang masak sahaja.

"Selepas enam bulan, barulah saya dapat permit penduduk dan perjalanan perniagaan mula berkembang dari situ," katanya kepada petugas media baru-baru ini.

Namun, langit tidak selalunya cerah, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh untuk melebarkan sayap perniagaan termasuk pernah ditipu rakan perniagaan sehingga mengalami kerugian RM500,000 sebelum COVID-19 melanda dan menyebabkan dia "’terduduk" hampir dua tahun.

Berbekalkan sisa semangat yang masih ada, dia kembali bangkit pada Dis 2022 apabila kerajaan Arab Saudi membuka permit perniagaan untuk orang luar membolehkankannya membuka sebuah syarikat katering sendiri dengan nama Ibtizam Catering & Food Services Sdn Bhd.

 “Alhamdulilah, setelah beberapa kali jatuh bangun dalam perniagaan, sekarang saya diberikan tangungjawab menyediakan makanan untuk kira-kira 95 peratus jemaah umrah.

“Semasa musim haji pula, syarikat saya menyediakan makanan untuk lebih kurang 19 agensi pelancongan yang membawa kira-kira 4,950 jemaah menggunakan visa haji dan Mujamalah di 25 hotel di sekitar Aziziyah dan Makkah,” katanya.

 Beliau berkata kesemua hidangan itu disediakan secara bufet tiga kali sehari dengan menu masakan Malaysia seperti nasi lemak, mi goreng, sambal udang serta sambal sotong kering, ubi kayu rebus dan kuah kacang.

Syarikatnya turut menyediakan kuih-muih tradisional Malaysia seperti seri muka, ketayap dan onde-onde yang kesemua bahan mentah serta rempah masakan yang digunakan dibawa khas dari Malaysia dengan kontena seberat 24 tan metrik, pada tiga hingga empat bulan sekali untuk mengekalkan keaslian masakan yang disajikan.

“Semua produk kita dari Malaysia dan hanya barang basah serta yang tidak tahan lama yang kita beli di pasaran tempatan. Ada 54 jenis barang kita bawa dari Malaysia seperti ikan bilis, santan dan jus,” katanya yang kini mempunyai sebanyak enam tukang masak dan 47 pekerja berbilang bangsa.

Ditanya mengenai resipi kejayaannya, Sulaiman berkata peluang di Arab Saudi sentiasa terbuka luas, namun yang paling penting jika seseorang ingin membuka perniagaan di sini, dia perlu sanggup berkorban termasuk meninggalkan keluarga di tanah air selain cekal menghadapi cabaran yang tidak diduga.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan