EKONOMI

MIGHT MALAYSIA - BRIN INDONESIA JALIN KERJASAMA DALAM PENYELIDIKAN, INOVASI

20/06/2024 01:48 PM

JAKARTA, 20 Jun (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam inisiatif penyelidikan dan inovasi teknologi tinggi.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, badan pemikir teknologi tinggi Malaysia berkata potensi bidang kerjasama termasuk ubat-ubatan berasaskan bahan semula jadi, pembangunan vaksin dan pertanian berdasarkan sumber genetik tempatan.

"Kerjasama yang dicadangkan untuk tempoh tiga tahun ini akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama menyediakan fasilitasi bersama dan koordinasi dalam bidang pembangunan yang dinyatakan, merentasi pelbagai pihak berkepentingan dan platform strategik.

"Ini termasuk penggunaan kemudahan penyelidikan kedua-dua negara dan mobilisasi penyelidik. Kerjasama ini mengamalkan falsafah menang-menang dalam kerjasama antarabangsa bagi bidang teknologi tinggi, dalam semangat kesaksamaan dan manfaat bersama," kata MIGHT.

Kerjasama itu disokong oleh Malaysia Science Endowment (MSE) satu inisiatif oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia untuk mengekalkan pembiayaan penyelidikan dan pembangunan negara.

MIGHT diwakili oleh Pengerusi Bersama (Industri) Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rushdi Abdul Rahim.

BRIN pula diwakili oleh Pengerusinya Dr Laksana Tri Handoko dan Timbalan Pengerusi bagi Fasilitasi Penyelidikan dan Teknologi Prof Dr Agus Haryono.

MIGHT berfungsi sebagai badan pemikir teknologi tinggi Malaysia, memberi nasihat mengenai pembangunan industri melalui penggunaan strategik sains dan teknologi untuk pertumbuhan sosioekonomi.

BRIN ditubuhkan di bawah Peraturan Presiden sebagai Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional untuk menjalankan penyelidikan, pembangunan, kajian, aplikasi serta penciptaan dan inovasi secara bersepadu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan