AM

TAIWAN CARI CADANGAN HIJAU GLOBAL, WANG TUNAI USD20,000 MENANTI

20/06/2024 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) baru-baru ini melancarkan kempen cadangan globalnya 'Go Green with Taiwan' bagi membina masa depan mampan dan makmur bersama komuniti antarabangsa.

TAITRA, dalam kenyataan hari ini mempelawa semua pihaknya khususnya penggiat teknologi hijau mengemukakan cadangan yang menunjukkan kreativiti mereka menggabungkan produk hijau lestari buatan Taiwan dan penyelesaian.

Menurut TAITRA, kempen itu bagi mempromosikan industri hijau Taiwan, selain membina kerjasama antarabangsa demi pembangunan mampan dunia.

Tiga cadangan terbaik masing-masing akan menerima hadiah wang tunai USD20,000 (kira-kira RM94,200).

"Inisiatif ini menyasarkan untuk mengetengahkan kepemimpinan dan potensi Taiwan dalam industri tenaga hijau mampan global, menyumbang kepada matlamat kelestarian alam sekitar dan ekonomi di seluruh dunia," menurut kenyataan itu.

‘Go Green with Taiwan’ telah dirasmikan dalam satu sidang akhbar di Taipei, yang dihadiri Pengerusi TAITRA James Huang, Ketua Pengarah Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa (TITA) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MOEA) Taiwan, Cynthia Kiang dan Duta Kehormat yang juga pengasas dan Pengerusi Acer Group, Stan Shih.

Sementara itu, Huang dipetik dalam kenyataan sama berkata ‘Go Green with Taiwan’ dibangunkan sebagai pintu masuk penting bagi rakan kongsi antarabangsa untuk memahami laluan Taiwan ke arah kelestarian, buat julung kalinya.

"Kempen ini mempromosikan produk dan penyelesaian hijau paling inovatif dan komprehensif Taiwan, mengalu-alukan rakan kongsi antarabangsa untuk menyertai Taiwan dalam memacu transformasi ekonomi dan alam sekitar yang mampan," katanya.

"Go Green with Taiwan' dianjurkan TITA di bawah MOEA dan dilaksanakan oleh TAITRA. Penyerahan cadangan dibuka hingga 31 Ogos ini.

Penggiat alam sekitar dan inovator dari seluruh dunia dijemput untuk mengemukakan cadangan sekali gus menyertai dan berganding bahu bersama Taiwan ke arah mewujudkan masa depan hijau dan lestari.

Maklumat lanjut mengenai penyerahan cadangan atau sebarang informasi layari laman web gogreen.taiwanexcellence.org.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan