EKONOMI

Untung Bersih Suku Kedua Ecoworld Naik Kepada Rm70.05 Juta

20/06/2024 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM70.05 juta bagi suku kedua berakhir 30 April, 2024, daripada RM62.69 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil melonjak kepada 32.1 peratus kepada RM555.76 juta daripada RM420.82 juta disebabkan sumbangan yang tinggi daripada fasa aktif dan projek hartanahnya yang baharu dilancarkan. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EcoWorld Malaysia menyatakan bahawa Eco Botanic, Eco Spring, Eco Tropics, Eco Business Park I, dan Eco Sanctuary di Lembah Klang antara projek yang menyumbang kepada hasil dan keuntungan kasar pada suku kedua 2024.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chang Khim Wah berkata kumpulan itu mencapai jualan sebanyak RM2.18 bilion dalam tempoh tujuh bulan bagi tahun kewangan 2024, dipacu oleh permintaan yang kukuh bagi projek di Iskandar Malaysia yang menyumbang 61 peratus jumlah jualan kumpulan bagi tahun setakat ini. 

"Empat tonggak pendapatan kumpulan itu, Eco Townships, Eco Rise, Eco Hubs dan Eco Business Parks menunjukkan prestasi yang kukuh.

“Jualan rumah kediaman Eco Townships kami kekal sebagai segmen terbesar dengan RM855 juta direkodkan, dengan 90 peratus daripadanya terdiri daripada rumah berharga melebihi RM650,000,” katanya.

Menurut Chang, keupayaan kumpulan itu dalam menjana tunai meningkat dengan disokong oleh projek yang telah matang dan jualan yang kukuh.

“Pada separuh pertama tahun kewangan 2024, kumpulan menjana RM470 juta tunai daripada aktiviti operasi, lebih tiga kali ganda keuntungan bersih kami untuk tempoh yang sama.

“Hasilnya, baki tunai kami termasuk deposit dan dana jangka pendek meningkat kepada RM1.44 bilion, paras tertingginya setakat ini, mengurangkan nisbah penggearan bersih kami kepada 0.24 kali ganda,” katanya.

EcoWorld berkata ia berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh lebih banyak dan sedang mencari tanah, terutamanya di bawah projek Eco Townships, Eco Business Parks dan Eco Rise pillars. Ia juga berhasrat untuk meluaskan bahagian pasarannya di bawah setiap segmen pasaran hartanah dan mengekalkan pertumbuhan.

Lembaga kumpulan mengisytiharkan dividen interim dua sen pada suku kedua 2024 yang perlu dibayar pada 19 Julai 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan