EKONOMI

HUBUNGAN RAPAT MALAYSIA-CHINA AKAN KEKAL ERAT, BAWA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA - LOKE

20/06/2024 04:42 PM

SEPANG, 20 Jun (Bernama) -- Hubungan rapat antara Malaysia dengan China diharap akan terus kekal erat serta membawa pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat kepada negara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata hubungan rapat dengan China selaku sebuah negara kuasa besar yang sedang berkembang pesat, akan memberi manfaat yang banyak kepada Malaysia termasuk daripada aspek ekonomi.

Pada suku pertama tahun ini, keluaran dalam negara kasar negara China meningkat 5.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan sebahagian besar disebabkan oleh aktiviti pengilangan yang teguh.

“Kita harap hubungan dua hala terutama dalam perdagangan dan pelaburan dari negara China akan terus meningkat dan sudah tentu ini akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat kepada negara kita, termasuklah dalam bidang pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengangkutan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghantar pulang Perdana Menteri China Li Qiang dan delegasinya yang berlepas ke Beijing menaiki pesawat khas Air China pukul 2.15 petang.

Beliau berkata lawatan rasmi tiga hari Li ke Malaysia yang berakhir hari ini, menterjemahkan hubungan baik antara kedua-dua negara. Loke berkata lawatan kali ini disifatkan sebagai sangat berjaya.

“Pelbagai mesyuarat dua hala diadakan dan pelbagai program dilaksanakan. Saya lihat sambutan yang cukup baik dan respons daripada pihak negara China cukup baik.

“Mereka cukup kagum dengan sambutan yang mereka terima. Itu yang saya terima terus dari Premier Li Qiang sendiri. Beliau begitu gembira dan mengatakan bahawa Malaysia merupakan kawan yang begitu rapat kepada negara China,” katanya.

Loke berkata kerajaan berharap hubungan yang baik antara China dengan Malaysia akan terus berkekalan.

“Apa yang kita harapkan, hubungan ini terus berkekalan dan berterusan. Ini sesuatu yang saya rasa akan memberikan banyak faedah kepada hubungan dua hala ini.

“Saya rasa hubungan yang begitu mesra yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua pemimpin negara ini, akan membawa satu masa hadapan yang lebih cerah kepada hubungan Malaysia-China dan Asean-China,” katanya.

China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Tahun lepas jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), mewakili 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah wujud sejak Pernyataan Bersama Malaysia-China ditandatangani pada 31 Mei 1974 oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri China ketika itu Chou En Lai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan