AM

PROJEK LADANG SOLAR TERAPUNG PERTAMA DI SARAWAK BEROPERASI OKTOBER INI - ABANG JOHARI

20/06/2024 05:41 PM

LUBOK ANTU (Sarawak), 20 Jun (Bernama) -- Projek ladang solar terapung pertama di Sarawak terletak di Empangan Batang Ai di sini, akan beroperasi pada Oktober ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek berkenaan akan melonjakkan jumlah penjanaan tenaga solar dan hidroelektrik di Batang Ai kepada 158 megawatt (MW) sekali gus menjadikan ia kawasan pertama di Malaysia yang mengeluarkan dua jenis tenaga boleh diperbaharui secara hibrid.

“Saya difahamkan projek ini akan siap tidak lama lagi dan ketika ini, ia dah capai lebih 30 peratus. Maknanya ia akan siap dalam tempoh empat bulan lagi.

“Pengeluaran tenaga daripada ladang solar terapung ialah lebih kurang 50MW dan Empangan Batang Ai kini menjana tenaga hidroelektrik sebanyak 108 MW jadi kalau ini siap, kawasan Batang Ai akan mengeluarkan 158 MW (hidroelektrik and solar),” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melawat ladang solar terapung itu di sini hari ini. 

Sebagai pelan jangka masa panjang, Abang Johari berkata kawasan Batang Ai yang berkeluasan 8,500 hektar berpotensi untuk ditingkatkan jumlah penjanaan tenaga solar kepada kira-kira 2,000 MW menerusi pelaburan daripada syarikat luar negara serta swasta. 

Menurutnya, Sarawak Energy Berhad (SEB) selaku syarikat milik kerajaan Sarawak yang bertanggungjawab terhadap projek itu akan membuat kajian bagi memperluaskan inisiatif tenaga hijau itu. 

“Saya telah kongsi dengan SEB untuk kita membuat perancangan supaya Batang Ai ini kita tingkatkan pelaburan daripada syarikat asing kerana kita sudah pinda undang-undang Sarawak yang membolehkan pihak swasta melabur dalam penjanaan kuasa.

“Ini sudah tentu membolehkan Sarawak mempunyai (pengeluaran) tenaga hijau lebih kurang 2,500 MW dari Batang Ai sahaja,” katanya.

Beliau berkata usaha itu juga akan merancakkan tiga jenis ekonomi iaitu akuakultur, hidrokuasa dan solar di kawasan berkenaan yang terletak kira-kira 290 kilometer dari bandar Kuching.

Terdahulu, Abang Johari meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat tapak projek ladang solar terapung yang mula dibina sejak Jun 2023. Ia dilaksanakan dengan kerjasama SEB serta China Power International Holdings dan syarikat tenaga solar, Trina Solar.

Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan ketua pegawai eksekutif SEB Datuk Sharbini Suhaili. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan