EKONOMI

Epic Bhd Catat Perolehan Rm344 Juta Pada 2023

20/06/2024 09:44 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Jun (Bernama) -- Syarikat berkaitan kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Bhd) mencatatkan perolehan sebanyak RM344 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, meningkat berbanding RM343.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022. 

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata pertumbuhan perolehan dijangka lebih baik tahun ini, didorong oleh pelbagai inisiatif dan projek yang sedang dijalankan oleh syarikat.

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) yang kekal kukuh berjumlah RM81 juta mempamerkan kemampanan perniagaan syarikat untuk pertumbuhan dan keuntungan masa hadapan. 

“Sorotan yang begitu memberangsangkan bagi tahun kewangan 2023 adalah lonjakan keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM8.9 juta, lebih sekali ganda daripada RM3.9 juta pada tahun kewangan 2022,” menurut EPIC Bhd susulan pengumuman keputusan kewangan berkenaan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 hari ini.

Syarikat kekal cemerlang pada tahun ini dengan keputusan kewangan untuk lima bulan pertama iaitu Januari hingga Mei telah melangkaui sasaran dan mengatasi prestasi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhtar Suhaili dalam kenyataan sama berkata prestasi kewangan yang kukuh pada tahun kewangan 2023 dan lima bulan pertama tahun kewangan 2024 jelas menunjukkan fokus strategik dan kecemerlangan operasi EPIC Bhd.

“Syarikat komited untuk meneruskan usaha memacu pertumbuhan dan memberikan nilai yang mampan kepada pemegang saham melalui projek dan pelaburan strategik berterusan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, EPIC Bhd mencatatkan perolehan sebanyak RM162.9 juta daripada Januari hingga Mei tahun ini, peningkatan 23 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023. 

Keuntungan kasar syarikat naik 42 peratus kepada RM67 juta manakala keuntungan sebelum cukai mencapai RM24 juta iaitu 5.7 kali lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu, katanya. 

Melangkah ke hadapan, EPIC Bhd kekal optimis untuk mengekalkan trajektori positif dan komited dalam melaksanakan strategi perniagaan, katanya.

“Ini termasuk projek yang sedang berjalan dan dirancang terutama projek pembesaran Pelabuhan Kemaman, fasiliti pengitaran semula kapal dan pelantar hijau serta proses menaik taraf fasiliti pelabuhan untuk menampung peningkatan permintaan yang akan dipacu rangkaian Laluan Rel Pantai Timur.

“Syarikat juga sedang meneroka beberapa projek berprofil tinggi yang kini dalam proses bidaan di samping pelaburan berpotensi dari dalam dan luar negara untuk pemajakan tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong (Kemaman),” menurut kenyataan itu. 

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan