BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 EKONOMI

KELEMAHAN RINGGIT BERI IMPAK BESAR KEDUDUKAN MALAYSIA DALAM DAYA SAING DUNIA IMD 2024 - TENGKU ZAFRUL

21/06/2024 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Penurunan kedudukan Malaysia di tangga ke-34 dalam senarai Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 adalah disebabkan faktor kelemahan mata wang ringgit pada tahun lepas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata berdasarkan kajian awal kementerian tersebut, isu utama yang mengakibatkan kejatuhan kedudukan negara dari tangga ke-27 adalah disebabkan penggunaan data pada 2023 untuk mengukur daya saing negara.

“Ia (laporan) berdasarkan data tahun lepas, 2023, berbanding dengan tahun 2022, jadi ketinggalan satu tahun di situ. Faktor yang mempunyai kesan paling ketara ialah kestabilan ringgit, seperti yang ditonjolkan dalam ranking," katanya selepas merasmikan the Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution di Bursa Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kelemahan ringgit tahun lepas mempunyai pelbagai implikasi, termasuk penilaian pelaburan, produktiviti, dan kecekapan yang berkait rapat dengan nilai mata wang itu, seterusnya mencerminkan kebimbangan mengenai kestabilan ekonomi.

“Seperti yang diketahui, ringgit terjejas pada 2023, dan itu memberi kesan kepada daya saing kita, tetapi kini ringgit telah mengukuh, dan jika momentum yang sama berterusan, kedudukan itu sepatutnya bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata sumbangan eksport sektor elektrik dan elektronik  (E&E) yang rendah pada tahun lepas turut menjejaskan kedudukan negara.

“Ini adalah seiring dengan kelembapan perdagangan di seluruh dunia, tetapi tahun ini kita dapat melihat sektor itu bertambah baik.

“Kini, jumlah dagangan telah meningkat dengan ketara, kira-kira lebih 10 peratus pada Mei 2024,” katanya.

Malaysia turun tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, selepas berada di kedudukan ke-27 dalam indeks itu tahun lepas.

Di rantau Asia Pasifik, Malaysia turun empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-10 daripada 14 negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan