AM

Pemaju Projek Mega Di Sarawak Disaran Bangunkan Clq

21/06/2024 04:11 PM

KUCHING, 21 Jun (Bernama) -- Pemaju projek mega di Sarawak disaran melaksanakan konsep bersepadu pengurusan pembinaan dengan membangunkan kuarters buruh berpusat (CLQ) yang menempatkan kakitangan pengurusan dan pekerja.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata kuarters berkenaan akan meningkatkan produktiviti pekerja dan bertindak sebagai landasan kemajuan industri pembinaan di seluruh negeri, di samping memastikan kesejahteraan buruh pada masa depan.

"Diharapkan sistem ini membolehkan kita menyiapkan projek mengikut jadual...kemudahan dalam CLQ ini akan membantu meningkatkan produktiviti kerana pekerja berada dalam persekitaran yang kondusif jadi ia berbaloi untuk melabur dalam konsep ini,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas melawat tapak CLQ bagi pakej Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) di sini hari ini, beliau berkata konsep bersepadu ini memudahkan pihak pengurusan untuk menguatkuasakan disiplin dan mengurus pekerja asing.

Dilengkapi dengan kemudahan seperti ruang tamu, ruang makan, gelanggang bola keranjang  dan bangunan pejabat, kuarters sistematik itu merangkumi 36 bilik untuk kakitangan pengurusan dan 53 bilik diperuntukkan kepada pekerja yang boleh menempatkan sehingga 240 orang.

Lee berkata CLQ adalah di bawah projek KUTS selaras dengan kajian analisis impak sosial yang juga sebahagian daripada keseluruhan kajian Environmental, Social & Heritage Impact Analysis (ESHIA).

Mengenai projek KUTS Fasa 1 yang terdiri daripada sistem Transit Aliran Autonomi (ART),  Blue Line, Red Line dan Green Line, Lee berkata kemajuan keseluruhan adalah sebanyak 22.37 peratus dengan pakej Blue Line berada pada 14.6 peratus.

Blue Line dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di Kuching  membabitkan jarak sejauh 27.6 kilometer (km) manakala Green Line pula 30km dari Pending ke Damai Central.

Terdahulu, Lee turut melawat SR10 Simpang Tiga Interchange Station yang merupakan sebahagian daripada projek Red Line.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan