EKONOMI

FIRMA PENYELIDIKAN KEKAL OPTIMIS PERTUMBUHAN KDNK MALAYSIA TAHUN INI

21/06/2024 04:17 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Firma penyelidikan mengekalkan ramalan masing-masing mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.2-4.8 peratus tahun ini.

OCBC mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2 peratus tahun ini, menokok daripada 3.6 peratus pada 2023.

Ahli Ekonomi kanan Asean OCBC, Lavanya Venkateswaran berkata, ramalan ini adalah berdasarkan pertumbuhan eksport elektronik yang lebih baik, penekanan yang berterusan terhadap pembangunan infrastruktur awam dan peningkatan pelaburan sektor swasta yang dirangsang oleh agenda pembaharuan berterusan kerajaan.

"Suku pertama 2024 menunjukkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2 peratus, dan data aktiviti yang diterima untuk suku kedua 2024, termasuk pertumbuhan eksport dan import serta pengeluaran perindustrian, adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan KDNK setahun penuh kami," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai prestasi perdagangan pada Mei 2024, Lavanya menyifatkan data dagangan Mei adalah kukuh.

Beliau berkata pertumbuhan eksport mengekalkan momentumnya dan menjadi lebih pelbagai manakala kekukuhan yang berterusan dalam pertumbuhan import menyerlahkan daya tahan bagi permintaan dalam negeri.

"Ternyata, lebihan dagangan yang besar telah memperkukuh lebihan akaun semasa, membantu meredakan beberapa kelemahan luaran," katanya.

Malah, beliau berkata pemacu pertumbuhan eksport menjadi lebih pelbagai.

Peningkatan eksport elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun daripada 0.6 peratus pada April memperlihatkan paras terendah kitaran menurun eksport elektronik global yang mula mencerminkan eksport E&E Malaysia.

Eksport barangan perkilangan lain seperti mesin dan peralatan, optik dan peralatan saintifik turut memberangsangkan pada Mei berbanding April.

Beliau berkata Malaysia telah menyaksikan peningkatan ketara permintaan bagi eksport E&E dan minyak sawit, didorong oleh beberapa faktor utama di pasaran Asean, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Faktor pertama adalah pemulihan kitaran eksport elektronik global telah meningkatkan eksport E&E Malaysia ke AS dan negara-negara Asean kerana peningkatan ini menunjukkan pertambahan semula permintaan global untuk barangan elektronik, yang telah memberi kesan positif kepada sektor eksport Malaysia.

Kedua, aktiviti ekonomi yang teguh di kebanyakan negara Asean dan AS telah memainkan peranan penting.

“Permintaan penggunaan dan pelaburan yang beterusan di rantau ini telah menyumbang kepada peningkatan keperluan bagi produk berkaitan, sekali gus meningkatkan pertumbuhan eksport Malaysia. Prestasi kukuh ekonomi ini telah menawarkan pasaran yang stabil dan berkembang untuk eksport Malaysia,” katanya.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan dan optimis pada Mei 2024, mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 10.3 peratus kepada RM246.31 bilion -- nilai tertinggi yang dicatatkan sejak Oktober 2022 dan bulan kelima berturut-turut bagi pengembangan tahun ke tahun.

Eksport naik untuk bulan kedua berturut-turut, meningkat 7.3 peratus kepada RM128.22 bilion, import menokok 13.8 peratus kepada RM118.09 bilion, menyebabkan lebihan dagangan sebanyak RM10.14 bilion dan lebihan bulan ke-49 berturut-turut sejak Mei 2020.

Hong Leong Investment Bank Bhd menjangkakan prestasi eksport Malaysia meningkat secara beransur-ansur pada separuh kedua 2024 apabila permintaan global untuk produk E&E terus bertambah baik, dicerminkan oleh momentum positif dalam jualan semikonduktor global (Mei: +15.8 peratus tahun ke tahun).

“Dalam jangka panjang, Strategi Semikonduktor Nasional yang dilancarkan baru-baru ini dan matlamatnya untuk membimbing industri terhadap rantaian nilai juga dijangka memberikan dorongan kepada eksport E&E Malaysia.

"Kami mengekalkan unjuran KDNK 2024 kami pada 4.8 peratus tahun ke tahun (2023: 3.6 peratus tahun ke tahun)," kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, Kenanga Research terus menjangkakan peningkatan eksport yang selanjutnya dalam tempoh beberapa bulan akan datang, didorong oleh kitaran meningkat teknologi dan pemulihan ekonomi China yang beransur-ansur.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata risiko penurunan yang berterusan adalah disebabkan ekonomi global yang tidak menentu dan potensi kesan ketegangan geopolitik yang meningkat, termasuk krisis Laut Merah dan ketegangan baharu AS-China.

Sehubungan itu, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2024 sebanyak 4.5 peratus hingga 5.0 peratus dengan jangkaan momentum pertumbuhan yang lebih mantap pada separuh kedua 2024.

“Pertumbuhan domestik akan disokong oleh pemulihan berterusan dalam sektor pembuatan berorientasikan eksport, di samping momentum permintaan domestik yang kukuh.

“Ini terutama disebabkan keadaan pasaran buruh yang stabil berikutan aktiviti pengambilan pekerja yang mapan, peningkatan yang berterusan dari segi ketibaan dan perbelanjaan pelancong serta sokongan dasar kerajaan yang sedang dilaksanakan dan trend pelaburan yang positif,” kata Kenanga Research.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan