AM

Hanya Pembaharuan Positif Mampu Lindungi Masa Depan Negara - PM

26/06/2025 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi bahawa hanya pembaharuan positif mampu memastikan kestabilan negara daripada segi sosial, ketahanan ekonomi dan tadbir urus baik.

Ketika menyampaikan ucaptama di Simposium ASEAN 2025 di sini hari ini, beliau berkata pemimpin dan institusi perlu memberi komitmen ke arah perubahan yang bermakna dalam usaha untuk merubah kemerosotan masyarakat serta menanam nilai-nilai yang berpaksikan kepada keadilan dan integriti.

"Kita berpegang kepada idealisme, justeru itu nilai dan etika kita adalah kukuh.

"Bagaimanapun, selepas generasi pertama, kedua dan ketiga berlalu, kita dapati nilai dan prinsip etika ini telah merosot… kita telah kehilangan idealisme itu," katanya.

Simposium sehari itu, yang bertema Anchoring ASEAN’s Future in Shares Wisdom: Enpowering Communities for an Inclusive and Sustainable Civilisation, menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin masyarakat sivil, ahli akademik dan wakil belia dari seluruh ASEAN untuk membincangkan pembinaan masa depan yang inklusif serta bersama bagi rantau berkenaan.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Othman.

Anwar juga berkata pembaharuan positif perlu bermula dengan kejelasan moral dan kemahuan politik terutama dalam menangani gejala rasuah serta memperkukuh institusi.

Beliau berkata Malaysia adalah negara berbilang kaum serta agama dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan penganutnya pula membentuk kira-kira 60 peratus daripada jumlah populasi, maka pemahaman bersama serta sikap saling menghormati adalah sangat penting.

Perdana Menteri juga berkata pemerkasaan ekonomi kekal sebagai asas dan segala usaha yang perlu harus diambil bagi memacu pertumbuhan serta pembangunan termasuk menarik pelaburan langsung domestik serta asing.

Bagaimanapun, Anwar berkata meskipun pertumbuhan ekonomi dan langkah menarik pelaburan adalah penting, ia tidak menggambarkan keadaan secara keseluruhan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan