AM

INDAH WATER MEMETERAI MOU DENGAN KOLEJ PENTADBIRAN INDIA DI SINGAPURA

21/06/2024 06:57 PM

PUTRAJAYA, 21 Jun (Bernama) -- Syarikat Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) dengan Kolej Pegawai Pentadbiran India (ASCI) mengenai perkongsian pengalaman dalam pemulihan perniagaan IWK, inovasi teknologi pengurusan air sisa dan pembetungan serta pembinaan kapasiti yang mempunyai kepentingan bersama.

Majlis penandatanganan MOU oleh wakil dari kedua-dua pihak itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Minggu Air Antarabangsa Singapura 2024 (SIWW) yang berlangsung 18 hingga 19 Jun lepas di Marina Bay Sands Expo and Convention Centre, Singapura.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan  Akmal Nasrullah telah mengetuai delegasi menghadiri forum itu bagi menunjukkan komitmen kementerian untuk meneroka bidang kerjasama baharu dalam sektor pengurusan air di rantau ini.

SIWW adalah acara dwitahunan, dengan tahun ini merupakan kali ke-10 ia diadakan, dan ia adalah platform yang mengumpulkan pemegang taruh daripada sektor kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan orang awam daripada pelbagai negara untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam sektor air. 

Pada tahun ini, SIWW 2024 telah diadakan bersekali dengan Cleanenviro Summit Singapore (CESG) 2024.

PETRA berkata Akmal Nasrullah turut menyertai sesi Joint Opening Ministerial Plenary pada 19 Jun sebagai ahli panel dalam sesi forum berkenaan sempena pembukaan bersama SIWW 2024 dan CESG 2024. 

“Sesi ini membincangkan mengenai pendekatan negara serantau dalam mendepani krisis perubahan iklim khususnya dalam sektor pengurusan air dan dasar-dasar dalam pembangunan mampan di negara masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Timbalan menteri itu dalam rangka lawatannya turut berkesempatan melihat kejayaan Singapura menguruskan air sisa dan kumbahan serta penggunaan semula air sisa dalam lawatan ke Loji Pulih Guna Air Sisa (WRP) dan Loji NEWater di Changi, Singapura.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan