AM

FASA KEDUA 'TREE OF TOMORROW': MNRB BEKERJASAMA DENGAN UITM, JPSM

22/06/2024 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- MNRB Holdings Berhad (MNRB) telah memasuki fasa kedua Program Penanaman Pokok (Tree of Tomorrow) sebagai usaha memenuhi komitmen untuk menanam sekurang-kurangnya 2,500 pokok di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad Zaharudin Daud berkata di bawah fasa baharu itu MNRB telah memilih Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai kawasan bagi menanam 250 pokok.

“Program Tree of Tomorrow bukan sekadar menanam pokok. Ia melambangkan tanggungjawab kolektif kami terhadap alam sekitar yang diharap akan menyumbang kepada pembinaan legasi kelestarian alam untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Melalui kerjasama berterusan dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), inisiatif yang turut disertai UiTM ini adalah sebahagian daripada usaha MNRB untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap alam sekitar dan menyumbang kepada masa depan yang mampan melalui pemuliharaan landskap semula jadi.

Zaharudin berkata penyertaan kakitangan MNRB sebagai sukarelawan bersama wakil dari UiTM dan JPSM, membentuk nadi projek ini dan memupuk budaya kewarganegaraan bertanggungjawab dalam organisasi.

“Kami berharap dapat memupuk pemikiran mampan dan menggalakkan lebih ramai individu memainkan peranan dalam melindungi alam sekitar kita. Mewujudkan kesan positif yang berkekalan untuk Malaysia memerlukan dedikasi dan tindakan berterusan di semua bidang.

“Semangat dan komitmen sukarelawan kumpulan ini, ditambah dengan kepakaran dan sokongan daripada rakan kongsi membuka jalan untuk masa depan yang lebih hijau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen (Perhutanan Tani dan Penghutanan Semula) Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan JPSM Muhamad Hafni Ahmad Saraji berkata kerjasama antara MNRB, UiTM dan JPSM adalah contoh terbaik bagaimana pelbagai sektor boleh bersatu untuk tujuan bersama, meningkatkan biodiversiti tempatan dan mendorong penglibatan masyarakat.

“Ini boleh menyemai rasa tanggungjawab dan penghargaan terhadap pemuliharaan alam sekitar di semua peringkat. Dengan menyumbang kepada penghijauan Malaysia, kita bersama-sama maju ke arah komitmen bersama Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030. Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini dan tidak sabar menyaksikan kesan positif yang akan dihasilkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan