EKONOMI

UNIT IJM CORP PEROLEH DUA KONTRAK BERNILAI RM962.3 JUTA

21/06/2024 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd (IJM Corp), IJM Construction Sdn Bhd memperoleh dua kontrak bernilai RM962.3 juta bagi pembinaan hab logistik di Selangor dan kemudahan pembuatan semikonduktor di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan hari ini, katanya kontrak bernilai RM584.3 juta untuk membina hab logistik di Shah Alam telah diberikan oleh Strategic Sonata Sdn Bhd (SSSB) bagi menyiapkan gudang enam tingkat berserta pejabat dan struktur tambahan yang akan selesai dalam tempoh 28 bulan.

Satu lagi kontrak bernilai RM378 juta bagi pembinaan Fasa 1 kemudahan pembuatan semikonduktor yang diberikan oleh Siliconware Precision Malaysia Sdn Bhd.

Siliconware Precision Malaysia adalah sebahagian daripada ASE Technology Holding Co. Ltd., syarikat pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar terbesar di dunia.

Kemudahan di Bandar Cassia Technology Park itu akan meliputi bangunan pengeluaran empat tingkat berserta pejabat, bangunan utiliti berpusat empat tingkat, bangunan gudang empat tingkat, dan laluan penghubung untuk menggalakkan pengeluaran semikonduktor termaju.

Pembinaan itu bermula pada Mei 2024 dan dijadualkan siap pada Oktober 2025.

“Peningkatan permintaan bagi logistik, gudang, pusat data serta pembuatan elektrik dan elektronik menawarkan peluang pertumbuhan yang ketara untuk masa depan.

“Fokus strategik kami terhadap pembangunan ini meletakkan syarikat secara efektif untuk memanfaatkan peluang itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan IJM Corp Lee Chun Fai.

Beliau berkata portfolio projek itu mengukuhkan nilai perolehan kontrak IJM Construction kepada RM7 bilion, yang terdiri daripada projek sektor swasta dan awam berprofil tinggi untuk pembinaan bangunan dan kejuruteraan awam, selain memastikan kebolehlihatan pendapatan jangka pendek.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan