AM

FILEM ANIMASI SEKUEL BATIK GIRL IMPI TEMBUS PASARAN ANTARABANGSA

22/06/2024 01:02 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Filem animasi pendek dua dimensi, Batik Girl, pernah mengharumkan nama negara lima tahun lepas apabila meraih pelbagai pengiktirafan tempatan dan luar negara, termasuk anugerah di lebih  20 festival filem di serata dunia. 

Selepas enam tahun diterbitkan, animasi fantasi berdurasi sembilan minit yang  mengangkat warisan kraf negara menerusi pengembaraan seorang anak yatim yang jatuh cinta pada seni batik, kini dalam pembikinan sekuel yang dijangka dapat ditayangkan pada 2027. 

Menjanjikan kelainan, sekuel ini kata Ketua Pegawai Kreatif The R&D Studio Irwan Junaidy, menawarkan kesinambungan kisah kanak-kanak itu yang telah dewasa dengan jalan cerita lebih menarik, selain akan diterbitkan mengikut durasi filem penuh.

“Kami berfikir, daripada membuat semula filem Batik Girl (2018) menjadi filem berdurasi penuh, adalah lebih baik jika dibuat sekuel kepada filem pendek itu. Maka lahirlah filem sekuel berdurasi penuh Batik Girl.  

"Untuk sekuel Batik Girl, kanak-kanak perempuan itu (2018) telah besar dan menjadi seorang wanita serta ibu, namun, bergelut dengan trauma yang dialami ketika kecil sehingga menjejaskan hubungan dengan anaknya,” kata beliau kepada Bernama. 

Ingin melihat sekuel ini turut melakar kejayaan seperti filem asal, The R&D Studio selaku penerbit, mendapatkan khidmat Renee Pilai sebagai penulis skrip dan pengarah bersama, memandangkan beliau pernah memenangi anugerah The Academy Nicholl Fellowships in Screenwriting pada 2019.

Mengulas kerjasama itu, Irwan berkata anugerah dirangkul Renee yang merupakan anak tempatan, bukan calang-calang kerana dipantau oleh lembaga pengelola yang memantau anugerah Academy Awards atau Oscars.

Ulasnya, demi merealisasikan hasrat membawa filem animasi negara ke tahap lebih tinggi, mereka sanggup berbelanja besar untuk bekerjasama dengan pakar. 

“Justeru, bekerjasama dengan seorang pemenang anugerah yang tarafnya seperti Oscar adalah satu peluang yang tidak akan dilepaskan, dan kami harap jalinan dengan Renee ini akan membuahkan hasil bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sambung beliau, filem itu yang kini di peringkat praproduksi, turut dipilih sebagai antara lapan projek filem cereka dari seluruh dunia ke  sesi “Meet the Producer” di Annecy International Animation Film Market (MIFA), Annecy, Perancis pada 12 Jun lepas.

MIFA adalah platform bagi projek filem animasi yang masih dalam pembangunan, sementara sesi “Meet the Producer” merupakan program khas bagi projek yang telah memperoleh sekurang-kurangnya 70 peratus daripada pembiayaan serta sedang mencari pelabur untuk membiayai baki kos. 

“Ini kali pertama filem keluaran Malaysia dijemput dan terpilih menyertai sesi tersebut daripada ribuan filem yang dihantar. Besar harapan kami dapat memikat pelabur antarabangsa untuk menyumbang 30 peratus lagi pembiayaan, antaranya agar lebih mudah filem ini menembusi pasaran luar,” katanya, menambah mereka juga terbuka menerima pelaburan domestik.

Menurutnya, tujuh filem lain yang berkongsi pentas dengan "Batik Girl”  di sesi itu termasuk dari Hong Kong dan Singapura serta beberapa negara Eropah. 

Irwan berkata mereka turut merancang untuk menayangkan filem sekuel itu di luar negara.

Antara anugerah yang dimenangi oleh filem asal adalah  Honorable Mention in Audience Favorites Award di Festival Animasi Florida  serta Pingat Emas bagi Kategori Rantau di  Digicon6 Asia ke-20, iaitu pertandingan filem pendek tahunan yang dianjurkan oleh Tokyo Broadcasting System Television Inc.

 Batik Girl mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan yang kematian ibu bapa dihantar untuk tinggal bersama-sama neneknya, seorang pencanting batik di Terengganu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan